X

Kindly register in order to view this article
!

Datuk mengaku tak salah gadai emas palsu RM1.3 juta

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menipu, dengan menggadai emas yang tidak tulen, menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta.

Rozaini Rosidin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah, di hadapan Hakim, Syafeera Mohd Said.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke sembilan, Rozaini didakwa telah menipu Nor Syafizah Mohamad, 27, yang ketika itu bertugas sebagai teller di Ar Rahnu Xchange cawangan Taman Selaseh, dengan menggadai emas yang tidak tulen seberat 9,774.81 gram sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,305,480 kepadanya, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut kepadanya, jika tidak diperdaya sedemikian.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Ar Rahnu Xchange cawangan Taman Selaseh, Gombak, di sini, antara 10 Januari 2018 dan 13 September 2019, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Nor Azahar tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira sembilan pertuduhan yang dihadapi tertuduh dan kerugian melebihi RM1 juta.

Peguam, R. Vikraman yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah atas alasan dalam keadaan kes koronavirus (Covid-19) ini, adalah tidak selamat untuk anak guamnya berada di dalam lokap.

“Saya mohon anak guam saya diberikan jaminan yang rendah dan kami bersetuju jika mahkamah menambah apa-apa syarat tambahan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM130,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada 1 haribulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 29 Jun ini sebutan semula kes. Tertuduh tidak membayar jaminan tersebut. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus