Keputusan mewartakan pelaksanaan Seksyen 17A tepat pada waktunya

No Image Caption
A
A
A

Pihak IIM mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas kesungguhan usaha serta kebertanggungjawaban yang tinggi ditunjukkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan dengan tidak menoleh kebelakang lagi dalam isu pelaksanaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai liabiliti korporat di mana ia kekal berkuat kuasa mulai 1 Jun ini seperti mana yang dirancang sebelum ini.

Pewartaan Seksyen 17A ini sangat penting di mana menunjukkan kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik dalam industri sektor masing-masing.

Semua institusi komersial yang terlibat secara langsung mahupun tidak, tidak kira sama ada usaha itu dilaksanakan di peringkat jabatan kerajaan, sektor swasta mahupun dalam kalangan masyarakat sivil, usaha ini akan terus diberi keutamaan demi kelangsungan gerakkan massa terhadap inisiatif memerangi jenayah rasuah.

Namun, seperti kita sedia maklum bahawa pewartaan peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 4 Mei 2018 telah menetapkan pelaksanaan Prinsip Liabiliti Korporat membabitkan organisasi komersial.

Peruntukan ini menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan besar terutamanya bagi organisasi komersial di mana sekiranya mana-mana pekerja atau pihak bersekutunya didapati bersekongkol dengan melakukan perbuatan jenayah rasuah bagi faedah tersurat mahupun tersirat di dalam organisasi tersebut.

Keputusan kerajaan mewartakan Seksyen 17(A) ini juga mengambil kira pertimbangan situasi semasa dan pandangan semua pihak, maka dengan itu kerajaan konsisten dengan pendirian kukuh menetapkan bahawa pelaksanaan undang-undang Liabiliti Korporat ini kekal berkuat kuasa mulai 1 Jun 2020.

Organisasi komersial digalakkan menyediakan Pelan Tindakan dan Panduan Tatacara Mencukupi bagi membantu industri menggunakan langkah dan inisiatif komprehensif dan inklusif bagi mengurangkan risiko potensi rasuah terus berlaku.

Garis panduan Tatacara Mencukupi ini juga adalah seperti mana termaktub di bawah Subseksyen (5) Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi membantu organisasi komersial memahami ‘tatacara mencukupi’ untuk dilaksanakan bagi mencegah amalan jenayah rasuah dan mempersiapkan organisasi dengan kewajipan baharu ini yang akan membawa faedah berganda kepada keuntungan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Di bawah Seksyen 17A(8), ‘organisasi komersial’ merujuk kepada (i) syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; (ii) syarikat asing yang berniaga di Malaysia; (iii) perniagaan perkongsian di bawah Akta Perkongsian 1961 dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, serta (iv) perniagaan perkongsian asing yang berniaga di Malaysia.

Jika sesebuah syarikat disabit kesalahan di bawah Seksyen 17A, syarikat tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai 'prosedur yang mencukupi' dalam operasinya.

Seksyen 17A turut memperuntukkan dua jenis mekanisme pembelaan kepada pengarah, atau pegawai, atau rakan kongsi syarikat/perkongsian seandainya syarikat/firma perkongsian mereka didakwa di bawah Seksyen 17A.

Pembelaan pertama, Seksyen 17A(3) memperuntukkan pembelaan kepada pengurusan syarikat untuk membuktikan bahawa kesalahan rasuah tersebut berlaku tanpa persetujuan, keizinan atau pengetahuan mereka dan mereka telah berusaha untuk memastikan tiada aktiviti rasuah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

Untuk pembelaan kedua, Seksyen 17A(4) telah memperuntukkan bahawa pengurusan syarikat tersebut boleh membela diri menggunakan alasan bahawa syarikat tersebut telah mempunyai prosedur dan polisi antirasuah (Pelan Tindakan Antirasuah) yang mencukupi bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang aktiviti rasuah oleh kakitangan syarikat tersebut.

Seksyen 17A(4) adalah amat penting dalam memastikan proses kepada pembelaan untuk kes ini boleh dilakukan kelak. Semata-mata menyatakan kepada mahkamah bahawa syarikat anda mempunyai prosedur antirasuah tetapi tidak mempunyai pelaksanaan yang baik dan mencukupi juga tidak cukup kuat untuk dijadikan pembelaan.

IIM berpandangan dan menggesa semua organisasi komersial berganding bahu memerangi jenayah rasuah dengan penuh tekad dan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Malah isu rasuah tetap rasuah tanpa mengira siapa yang melakukannya. Undang-undang ini amat penting dalam menangani rasuah dan hanya dapat dikurangkan apabila semua orang mematuhi undang-undang.

Bagi sektor swasta, selain menjadikan tadbir urus baik satu kelaziman, syarikat juga perlu menubuhkan unit governans dan integriti yang diletakkan di bawah lembaga pengarahnya. Bukan itu sahaja, pelaksanaan ISO 370001 Sistem Pengurusan Antirasuah, syarikat dan pertubuhan juga digalak mengadakan latihan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing.

CRM adalah proses pengurusan yang membantu pertubuhan mengenal pasti risiko rasuah, salah guna kuasa dan penggelapan (wang).

Rujukan terhadap ISO 37001:2016 mengenai pengurusan antirasuah juga adalah satu inisiatif yang baik. Maka dengan setiap para pengarah, rakan kongsi dan pengurusan syarikat/perkongsian perlu mengambil serius akan hal ini dan dinasihatkan untuk mendraf dan melaksanakan satu prosedur atau polisi antirasuah dalam syarikat masing-masing, serta harus memastikan pelaksanaannya adalah mencukupi.

Bukan itu sahaja, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa kerajaan terus komited dalam melaksanakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) semasa baginda bertitah pada majlis istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Malah Seri Paduka Baginda juga menyeru semua pihak mendukung aspirasi kerajaan supaya setiap agenda pembangunan negara tidak terhakis oleh amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Bukan itu sahaja, Seri Paduka Baginda menyarankan menanamkan dalam minda masyarakat semenjak di bangku sekolah lagi bahawa rasuah adalah jijik, kotor dan wajar diperangi habis-habisan.

Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai badan operasi bagi pembangunan kompetensi dan kapasiti sektor awam dan korporat dalam hal berkaitan governans, integriti dan antirasuah akan terus komited untuk membantu mana-mana organisasi / agensi komersial dalam merealisasikan pembangunan, penggubalan 'tatacara mencukupi'.

IIM bersedia membantu organisasi komersial menggunakan instrumen dan kaedah bersesuaian ke arah membina budaya tadbir urus yang baik, berintegriti tinggi dan antirasuah. Di antara ‘instrumen’ dan sistem itu adalah Anti-Bribery Management Systems (ABMS), Corruption Risk Management (CRM), Organisational Anti-Corruption Plan (OACP), Individual Integrity Profiling (IIP), Integrity Assessment Tool (IAT), Community Integrity Building (CIB), dan Ethics and Integrity Training Programme (E&I) sebagai salah satu alternatif solusi dalam persiapan 'prosedur tatacara yang mencukupi' bagi tujuan pembelaan di mahkamah kelak.

*Hamilye Sham Harun penulis ialah Pengurus Besar Kanan, (Bahagian Khidmat Korporat) Institut Integriti Malaysia (IIM)