Lelaki OKU ditahan salah guna gambar, nama Ketua Pemuda MCA

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki ditahan susulan laporan polis oleh Ketua Pemuda MCA, Wong Siaw Ting yang tidak berpuas hati berhubung gambar dan namanya digunakan oleh individu di Facebook untuk melakukan kesalahan jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan di Taman Lembah Maju, Ampang, kelmarin.

“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit dan dua sim kad milik suspek. Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu merupakan orang kurang upaya (OKU) mental dan mempunyai kad OKU sejak 2015.

“Lelaki itu juga pernah mendapat rawatan psikiatri, lelaki tersebut telah dijamin polis. Kita sedang menunggu laporan psikiatri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 21 April lalu, Siaw Ting membuat laporan polis berhubung insiden nama serta nombor telefon bimbit peribadinya tersebar di media sosial tanpa kebenaran dan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan memfitnah, termasuk dakwaan palsu kononnya beliau mengedarkan beras serta menjual topeng muka.

Beliau turut menerima pesanan ringkas (SMS) lucah dan ugutan serangan seksual terhadap dirinya dan juga anak perempuannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506,509,292 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan: