X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang Dewan Rakyat sehari penuhi formaliti: Pakar Perlembagaan

Dr Shamrahayu (kanan atas) ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 170 bertajuk Perubahan Kerajaan: Antara Persepsi dan Perlembagaan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.
A
A

SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz tidak bersetuju dengan pandangan pihak tertentu yang menyifatkan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu sebagai hari Parlimen tidak lagi berfungsi dan memainkan peranannya.

Katanya, walaupun persidangan diadakan sehari dan hanya titah Yang di-Pertuan Agong tetapi tetap memenuhi formaliti Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini pertama kali. Tiada siapa yang boleh menyatakan itu betul atau salah. Perbezaan (pendapat) mungkin berlaku kerana perbezaan dalam undang-undang dan juga dipengaruhi oleh persepsi politik.

“Menganalisis undang-undang itu penting tetapi ada yang kata perlu diselesaikan mengikut masa dan keadaan. Saya fikir inilah juga yang telah dibicarakan sebagai mesyuarat pertama bagi Parlimen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 170 bertajuk Perubahan Kerajaan: Antara Persepsi dan Perlembagaan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian.

Selain Dr Shamrahayu wacana turut menampilkan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Fahmi Fadzil manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Shamrahayu berkata, dari segi undang-undang ramai yang merujuk kepada Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Parlimen perlu bersidang dalam tempoh tidak melebihi enam bulan daripada tarikh persidangan terakhir.

“Kita pun tahu bahawa Parlimen ini ialah 'mother of democracy' iaitu penting untuk prinsip demokrasi tetapi apabila dikatakan Parlimen hendaklah dipanggil, pada saya pada awal pentaksiran kepada Perkara 55 Fasal 1 itu ia sudah memadai untuk dipanggil bersidang, sebab itu adalah mesyuarat yang pertama.

“Mesyuarat pertama ini tidak semestinya berlaku perbahasan tetapi komen yang merujuk Peraturan 14 kepada peraturan-peraturan mesyuarat majlis Dewan Rakyat itu yang meletakkan senarai aturan mesyuarat.

“Jadi di sini kalau kita lihat dalam konteks tempoh Perkara 55 tidak menyatakan tempoh dan dalam konteks Peraturan 14 juga ia tidak menyatakan tempoh. Jadi dari segi pentaksiran secara literalnya ia tidaklah menyatakan mesti ada perbahasan pada mesyuarat pertama,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kedai makan dan pusat membeli-belah kini telah dibuka namun mengapa sidang Dewan Rakyat tidak boleh bersidang lebih lama, Dr Shamrahayu berkata, beliau hanya memerhati perkara berkenaan dari segi aplikasi literal perundangan sahaja.

“Pada saya, saya lihat rasional sama ada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342 boleh dipakai secara berbeza-beza.

“Maknanya peraturan itu mungkin ada kelonggaran, mungkin diketatkan juga dalam aplikasinya kepada perniagaan-perniagaan yang tertentu atau pun pada keadaan-keadaan yang tertentu.

“Mungkin kerajaan memikirkan ini satu tempat yang kita tidak boleh langsungkan sama dengan sesetengah perniagaan yang lain. Saya pun nak cari rasionalnya, tetapi hanya kerajaan yang tahu rasionalnya tindakan itu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus