X

Kindly register in order to view this article
!

Ujian getir Ramadan kali ini

A
A

RAMADAN kali ini bertemu dengan ujian yang getir. Dari wabak koronavirus dan segala kesan rantaiannya iaitu ekonomi, menguji kapasiti sistem kesihatan awam, keselamatan, sosial, pendidikan dan penggunaan sumber negara sehinggalah kepada kehilangan pekerjaan. Ditambah pula mereka yang terkandas di negara luar serta kehadiran jutaan pekerja luar dalam negara, usaha untuk menguruskan semua mereka ini sungguh rumit.

Sementara itu di peringkat antarabangsa, pergelutan antara agensi dunia seperti Badan Kesihatan Dunia dan PBB untuk mencari pendekatan kerjasama antara negara juga berdepan cabaran yang sangat rumit. Keangkuhan kuasa besar seperti Amerika Syarikat masih mencari jalan menuding jari kepada pihak lain dari mengakui kelemahan sendiri.

Perdagangan antarabangsa menjadi sangat tidak menentu. Harga minyak turun mendadak manakala pergerakan laut, udara dan darat untuk menguruskan pengangkutan barangan tergendala, dari sektor marina mahupun penerbangan. Natijahnya ekonomi dunia merudum.

Tidak kurang mengesankan ialah konflik antara negara dan dalam negara yang terus berlarutan di bulan Ramadan menyebabkan jutaan menjadi pelarian. Libya, Syria, Yemen, Palestin, Somalia, Sudan, Lebanon, Kashmir, Afghanistan terus menerus bergolak.

Kem pelarian Rohingya seperti di Bangladesh sangat meruncing. Serangan Covid-19 di kem pelarian Rohingya di Cox Bazar di Bangladesh bagaikan bom jangka.

Istimewa lagi pada bulan Ramadan kali ini, Muslimin bertembung dengan peringatan Hari Nakbah Palestine kali ke-72 dan hari antarabangsa Al Quds 1441 Hijriyah. Kedua-dua peristiwa itu jatuh dalam bulan Ramadan yang bertambah pesan perjuangan buat kaum Muslimin bahawa tanggungjawab besar membebaskan Palestin dan Al Quds adalah tanggungjawab semua.

Memang banyak yang boleh dipelajari pada bulan Ramadan ini melihat realiti dunia sekarang. Ia belum pernah dilalui sebegini kritikal. Iktibar terhadap perlunya bekerjasama dan membina daya tahan diri sangat mendidik setiap diri di saat ibadat pada bulan Ramadan disempurnakan.

Di seluruh dunia Islam, masjid sepi, beriftar tidak semeriah dulu dan masing-masing terpaksa akur kepada arahan lockdown dan social distancing. Semua tertumpu kepada menangani krisis kesihatan akibat Covid-19.

Kesan kepada kualiti hidup keluarga dalam kalangan golongan miskin, parah. Pandemik Covid-19 membawa kesan yang merentas sehingga golongan miskin terjejas teruk. Mereka terpaksa berharap kepada bantuan kerajaan dan NGO. Bagaimana survival mereka selanjutnya, tidak ada yang dapat meramalkan.

Jutaan kaum Muslimin yang hilang tempat tinggal dan kehancuran negara akibat konflik dan kestabilan yang terancam, menambahkan getirnya Ramadan kali ini. Keupayaan terbatas menangani wabak ini menyebabkan pelarian dan mereka yang hilang kediaman menghadapi kehidupan di kem yang padat, tiada bekalan air bersih dan tiada kemudahan sanitasi.

Bila pasaran pekerjaan buruh sambilan terbatas dan ada yang hilang pekerjaan, ditambah ketiadaan simpanan, keadaan akan menjadi terdesak. Ada yang dipaksa keluar dari rumah sewa, menghadkan makan sekali sehari manakala ramai yang tiada kemampuan mendapat rawatan kesihatan.

Namun mengagumkan dalam keadaan sangat menderita itu, rasa kasih dan berkongsi derita, nilai kebersamaan dalam bulan Ramadan tidak berkurangan. Ramai yang saling membantu atas semangat persaudaraan. Menyantuni sesama mereka di kala masing-masing sedang kesempitan. Mereka hanya hidup pada tahap paling asas: makan, tempat berteduh, air bersih dan sedikit wang tunai.

Sangat mengharukan dan amat luar biasa. Ada pelarian Syria menghantar makanan kepada orang tempatan yang termiskin di Switzerland, kepada pelarian Afghanistan di Malaysia untuk bantu membuat alat pelindung untuk petugas barisan hadapan.

Ada kisah seorang ibu tunggal Syria bernama Huda, hidup sebagai pelarian Syria di kem pelarian di Lebanon sejak lima tahun bersama anaknya. Walaupun hidup sangat susah dan kerap terpaksa meminjam wang untuk menyambung hidup, namun Ramadan ini dia menyumbang apa yang dia ada untuk memasak makanan bagi dikongsikan dengan jiran tetangganya bagi menyambut bulan Ramadan.

Walaupun wabak ini menimpakan kesusahan yang sangat berat, namun pada saat inilah ramai pelarian menampilkan nilai kasih sayang yang sangat menyentuh sanubari serta menginsafkan mereka yang senang dan hidup lumayan. Bermakna dalam keadaan yang sangat menderita ini semangat saling membantu di bulan Ramadan terserlah sesama pelarian.

Di kala ramai yang merasa tidak selesa kerana terpisah dengan keluarga dan sahabat andai, akan tetapi penderitaan pelarian yang sudah berdekad-dekad sengsara menyebabkan kesusahan yang dirasai oleh ramai yang masih selesa ini tidak ada bandingannya.

Banyak yang boleh dipelajari dari pengelaman hidup sebagai pelarian. Sikap saling menolong masih kuat di kala mereka menderita bertahun-tahun lamanya. Ketabahan mereka dan sifat cuba saling menjaga dan bersatu untuk menyuarakan hak mereka sangat mengagumkan.

Di saat kita yang selesa dan menginginkan dapat bersatu bersama keluarga dan hidup seperti biasa, sangat perlu diinsafi bahawa mereka yang menjadi mangsa dari konflik, keganasan, dan penindasan setiap hari selama bertahun-tahun jauh lebih memerlukan pembelaan.

Ramadan kali ini yang diwarnai dengan ujian yang sangat getir mengingatkan kita betapa terlalu banyak tanggungjawab yang belum kita sempurnakan. Moga Allah mengampuni kelalaian kita dan memberi peluang sekali lagi untuk kita bertemu Ramadan mendatang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus