X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19
A
A

PANDEMIK Covid-19 yang mengancam kesihatan penduduk dunia sejak Disember 2019 sehingga kini telah meragut ratusan ribu nyawa dengan hampir lima juta disahkan positif. Ia telah membawa kesan negatif pada skala global dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, pengangkutan, sukan serta pelancongan.

Namun disebalik kesan negatif tersebut, ada juga kesan positif yang dapat dilihat. Perubahan kelakuan manusia dengan norma baharu, kualiti udara yang semakin baik, kemunculan aktiviti ekonomi baharu, serta revolusi pendidikan mula kelihatan.

Dalam konteks Malaysia, terdapat beberapa hikmah yang boleh diperhatikan. Selain daripada perubahan yang dilalui oleh dunia, soal keselamatan negara juga mendapat tempias daripada Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan bagi mengekang penularan virus ini.

Laporan akhbar pada Mac, menyebut bahawa kadar indeks jenayah menurun secara signifikan, dan kes kemalangan jalan raya menyaksikan penurunan sebanyak 70 peratus. Tetapi kes jenayah siber menyaksikan peningkatan, dan pastinya pihak polis amat maklum tentang perkara ini.

Selain daripada itu, dengan wujudnya pandemik ini, dan PKP sebagai langkah pengekangan, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) juga dapat diperhalusi. Langkah pemeriksaan kesihatan sama ada di semua sektor ekonomi telah memberi indikasi baharu dan agensi keselamatan dan penguatkuasaan dapat melakukan operasi bersasar.

Penutupan pasar borong Selayang, Jalan Pudu, serta beberapa kawasan tumpuan pekerja asing telah membolehkan pengesanan PATI dilakukan dengan lebih efektif. Walaupun asas utama adalah berdasarkan kesihatan, tetapi soal keselamatan juga harus menjadi agenda agensi keselamatan dan penguatkuasaan. Ini perlunya menjadi satu mekanisme baharu dalam negara berjuang menghadapi kebanjiran PATI.

Persoalan besar yang harus direncanakan ialah apakah tindakan selepas ini? Bagaimanakah harus dilakukan terhadap mereka? Walaupun ada yang mempersoal tindakan ini, tetapi keselamatan negara harus menjadi keutamaan. Dalam konteks tempatan, ini telah memberi peluang pekerjaan terhadap rakyat yang kehilangan pekerjaan di waktu pandemik.

Isu pelancong China dan India yang tiada rekod keluar daripada Malaysia, sebagaimana dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 seharusnya diambil tindakan drastik.

Ancaman

Sejumlah 100,000 pelancong ini tinggal lebih masa boleh meningkatkan ancaman keselamatan negara. Agensi yang dipertanggungjawabkan harus mengambil inisiatif segera dengan Covid-19 dan PKP sebagai asbab.

Bayangkan jika tiada pandemik ini, adalah terlalu sukar untuk dikesan pelancong-pelancong ini. Bukan setakat itu sahaja. Tular baru-baru ini berkaitan penjualan kad pengenalan secara atas talian yang menyaksikan pengkhianat negara semakin terdesak.

Adalah amat wajar perkara ini menjadi agenda utama agensi keselamatan dan penguatkuasaan meneliti perkara ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga harus melipat gandakan usaha mereka terhadap perkara ini, dan bukan hanya menumpukan terhadap kes-kes berkaitan orang terdedah politik (politically exposed person) sahaja.

Antara lain, laporan berkaitan pendaratan pelarian Rohingya di Langkawi serta kebanjiran mereka di beberapa kawasan serta hubungkaitnya dengan yang dikatakan tuntutan MEHROM mewujudkan sentimen negatif dalam kalangan rakyat, tetapi ia memberi persepsi tahap keselamatan negara.

Maka usaha dan integriti pelbagai agensi seperti TLDM, TUDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia amat diharapkan agar keselamatan negara terjamin. Begitu juga laporan berkaitan etnik Chin Myanmar yang tersekat akibat PKPD di Pudu. Data daripada Chin Student Organisation (CSO) merekodkan seramai 52,087 pendatang berada di Malaysia dengan 50 peratus tidak memiliki dokumen dan sedang menunggu untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ini tidak termasuk yang datang daripada Sri Lanka, Somalia, Iraq dan Afghanistan. Walaupun Malaysia bukanlah negara pihak dalam Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, tetapi sikap humanis rakyat dan Malaysia menyebabkan mereka selesa, namun ia bukanlah alasan soal keselamatan negara dikompromi. Data ini jelas membuktikan kebanjiran PATI membimbangkan dan seharusnya mekanisme dan protocol baharu mesti dirangka agar tahap keselamatan negara terjamin.

Ini adalah antara beberapa hikmah Covid-19 dan PKP dikenakan oleh kerajaan, yang mana dalam konteks keselamatan negara, banyak perkara yang diperlihatkan dan sangat penting untuk diselesaikan. Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri serta agensinya, Kementerian Luar serta Kementerian Sumber Manusia harus mengambil langkah drastik, tersasar dan bersepadu dalam menangani permasalahan ini.

Sesungguhnya ini adalah peluang yang diberi dalam menambahbaik perkhidmatan serta mengurangkan persepsi negatif rakyat Malaysia. Inilah hikmah Covid 19 dan PKP terhadap keselamatan negara. Dalam masa yang terdesak, langkah-langkah yang drastik sangat penting, dan mencipta kebiasaan baharu bagi semua.

* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik Universiti Sains Islam Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!