Tauke perabot rugi RM60,000

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran stor perabot di Kampung Chonang Jaya, Gong Badak, Kuala Nerus.
Anggota Bomba sedang memadam kebakaran stor perabot di Kampung Chonang Jaya, Gong Badak, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga perabot berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian lebih RM60,000 selepas stor perabotnya musnah dalam kebakaran di Kampung Chonang Jaya, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu hanya diketahui peniaga warga Pakistan itu, Said Akbar Ahmad Said, 55, selepas menerima panggilan daripada pekerjanya sebelum bergegas ke lokasi.

“Masa saya sampai, sebahagian besar stor dah habis terbakar. Saya memang cuba untuk selamatkan perabot yang ada tapi gagal sebab api marak dengan pantas. Saya tetap bersyukur kerana kejadian ini tak libatkan nyawa pekerja.

“Saya dimaklumkan tiada sesiapa berada di dalam stor jadi saya tidak pasti punca kebakaran ini tapi mungkin disebabkan masalah pendawaian elektrik di bahagian dapur,” katanya.

Sementara itu, komander operasi, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Mohamad Zaini Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.40 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian, stor itu sudah terbakar hampir 70 peratus dan kebakaran itu berjaya dikawal 35 minit kemudian. Kami juga ambil masa lebih setengah jam untuk padam api.

“Agak mencabar untuk memadamkan kebakaran membabitkan stor perabot seperti ini kerana bahan yang disimpan semuanya membabitkan kayu dan mudah terbakar,” katanya.

Menurutnya, seramai 19 anggota dari Balai Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian membabitkan tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan forensik bomba,” katanya.