Johor lancar aplikasi Jejak Johor

Hasni (kiri) menunjukkan aplikasi Jejak Johor yang memudahkan pengesanan kontak dalam mencegah penularan wabak Covid-19 di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.
Hasni (kiri) menunjukkan aplikasi Jejak Johor yang memudahkan pengesanan kontak dalam mencegah penularan wabak Covid-19 di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri hari ini melancarkan aplikasi Jejak Johor bagi memudahkan pengesanan kontak bertujuan mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Aplikasi Jejak Johor berupaya membantu mengesan kontak sekali gus mampu menyekat serta mencegah penularan Covid-19 dengan menggunakan gabungan teknologi pengecaman dan platform analisis data Iskandar Malaysia Urban Observatory Covid-19 Crisis (IMUOCC).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, aplikasi itu dapat membuat analisis bagi pengecaman awal penularan Covid-19 di kawasan atau kluster tertentu serta membolehkan pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah awal untuk menyekatnya.

"Contohnya dengan melakukan operasi sanitasi atau merancang pelan kawalan pergerakan di kawasan berkenaan, aplikasi Jejak Johor ini menggunakan gelombang bluetooth dalam telefon pintar untuk mengenal pasti kontak antara para pengguna aplikasi ini dalam jarak satu meter.

"Aplikasi ini akan membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memperoleh rekod kontak pengguna dan segera memaklumkan kepada mereka sekiranya terdapat risiko jangkitan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aplikasi berkenaan sesuai bagi golongan yang melakukan banyak pergerakan atau perjalanan dan mempunyai banyak kontak dengan individu lain.

Fungsi rekod kontak rapat automatik ini dapat diterapkan dalam pelbagai kegunaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Bagi premis perniagaan dan bangunan pejabat, pematuhan SOP PKPB dapat dipenuhi dengan menggunakan fungsi rekod kontak rapat automatik aplikasi ini bagi menggantikan kaedah merekodkan data pelanggan dan pelawat secara manual menggunakan borang yang dicetak atau di talian.

Artikel Berkaitan:

Ini juga memastikan rekod kontak rapat dengan pelanggan dan pelawat sah dan boleh dihubungi.

Pengguna terbabit akan dikenali menerusi satu identiti unik iaitu hanya maklumat nombor telefon berdaftar pengguna disimpan supaya mudah dihubungi JKNJ untuk penghantaran notifikasi berkaitan.

Aplikasi itu merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dibangunkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Buat masa ini aplikasi tersebut sudah boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan bagi Apple Store pula boleh dimuat turun dalam masa terdekat, sebarang pertanyaan mengenai aplikasi Jejak Johor boleh diajukan kepada jejakjohor@johor.gov.my.