X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan hadkan 12 jemah solat Jumaat bermula esok

Tengku Mohammad Rizam
A
A

KOTA BHARU - Semua masjid di negeri ini dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula esok secara berperingkat walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

"Solat Jumaat dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang yang terdiri daripada Imam Tua, Imam Muda, bilal, siak serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan solat Jumaat itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti ujian saringan suhu kepada pegawai dan jawatankuasa yang hadir.

Katanya, mereka yang mempunyai bacaan suhu lebih 37.4 celcius dan bergejala seperti batuk, demam, selsema dan sakit tekak tidak dibenarkan memasuki masjid.

"Ahli jawatankuasa (AJK) yang berumur 70 tahun ke atas juga tidak dibenarkan hadir. Selain itu pegawai dan AJK masjid wajib memakai penutup muka dan kehadiran perlu direkodkan," katanya.

Tengku Mohammad Rizam berkata, penjarakan sosial sejauh satu meter antara jemaah ketika solat juga perlu dipatuhi dan jemaah perlu membawa sejadah sendiri.

Dalam perkembangan lain, Tengku Mohamad Rizam berkata, orang ramai dinasihatkan melakukan solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama ahli keluarga.

"Orang ramai juga tidak digalakkan menzirahi tanah perkuburan sempena Aidilfitri nanti.

"Maik amat berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dalam memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus