448 kes positif Covid-19 di Singapura hari ini

Singapura mengklasifikasi 1,678 sebagai kes komuniti, 580 kes import, dan 27,106 pekerja asing yang ditempatkan di asrama.- Foto: 123RF
Singapura mengklasifikasi 1,678 sebagai kes komuniti, 580 kes import, dan 27,106 pekerja asing yang ditempatkan di asrama.- Foto: 123RF
A
A
A

SINGAPURA- Singapura mengesahkan secara awal 448 lagi kes positif koronavirus (Covid-19) hari ini dengan majoriti melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Dengan kes baharu itu, menjadikan jumlah yang dijangkiti di republik ini 29,812 kes.

Data tengah hari itu menunjukkan bahawa 13 kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap, demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik ini dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Menurut kementerian itu, daripada jumlah itu tujuh kes dikesan dari penghuni rumah penjagaan dan petugas pra-sekolah, dan empat dari satu keluarga kluster yang dikaitkan dengan satu asrama.

“Siasatan epidemiologikal sedang dilakukan bagi dua lagi kes,” katanya dan menambah bahawa ia masih mendapatkan perincian kes berkenaan dan butiran terkini akan dikongsi kelak.

Dalam data penuh yang disiarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasi 1,678 sebagai kes komuniti, 580 kes import, dan 27,106 pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

MOH juga mengemas kini bahawa definisi “kes dalam komuniti” kini terdiri daripada semua kes termasuk pemegang permit kerja yang dikesan di luar asrama.

Sebelum ini, kementerian berkata ia mengesan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama sebagai kategori berasingan dan meletakkan jumlah yang besar daripada pekerja berkenaan dalam Notis Duduk Rumah (SHN).

Artikel Berkaitan:

Pengklasifikasi semula itu dibuat memandangkan SHN bagi pekerja berkenaan telah tamat tempoh, menurutnya.

Sementara itu, satu kluster yang dikaitkan dengan kawasan pembinaan di Project Glory of Market Street telah ditutup semalam susulan tidak ada lagi kes baharu yang dikaitkan di tempat berkenaan sejak dua tempoh inkubasi.

Pada Rabu, kementerian berkenaan menyatakan sejumlah 11,207 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti penjagaan komuniti, manakala 954 kes masih di hospital dengan 11 berada dalam unit rawatan rapi.

Menurut MOH, 17,181 orang mempunyai simptom ringan atau secara klinikal baik tetapi masih positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Setakat ini, 22 orang mati akibat Covid-19 di sini.

MOH juga mengenalpasti dua kluster baharu pada Rabu manakala kluster terbesar di republik ini ialah S11 Dormitory @ Punggol, dengan mempunyai 2,586 kes disahkan.-Bernama