11 lelaki ditahan berjudi dalam kandang kambing

Antara yang ditahan ketika leka berjudi dalam bangsal yang didirikan dalam kawasan kandang kambing.
Antara yang ditahan ketika leka berjudi dalam bangsal yang didirikan dalam kawasan kandang kambing.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 11 lelaki sanggup menjadikan kandang kambing sebagai port judi bagi mengelak kegiatan tidak bermoral itu dikesan pihak berkuasa di sebuah kampung di Gelugor di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kesemua suspek yang leka berjudi tidak sempat melarikan diri selepas bangsal yang didirikan di dalam kandang kambing berkenaan diserbu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang melalui risikan sejak seminggu lalu berhubung aktiviti perjudian di lokasi terbabit.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, melalui risikan tersebut juga, kumpulan berkenaan berusia antara 21 hingga 60 tahun dikatakan memulakan pertaruhan bermula jam 10 malam sehingga awal pagi dengan melibatkan pertaruhan mencecah puluhan ribu ringgit.

"Walaupun kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan di dalam bulan Ramadan, namun mereka langsung tidak menghormati dengan melakukan aktiviti perjudian.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, kita merampas daun terup dan beberapa peralatan perjudian selain merampas wang tunai berjumlah RM31,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Zainol berkata, kesemua mereka termasuk seorang lelaki dipercayai penganjur perjudian terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kesemua kini direman selama empat hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 4 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menganjurkan aktiviti perjudian haram di sini," katanya.

Artikel Berkaitan: