Jangan kerana kita ibu bapa, nenek, penduduk kampung terima akibat

Pergerakan rentas negeri menjelang Aidilfitri. -Foto Bernama
Pergerakan rentas negeri menjelang Aidilfitri. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perayaan yang sudah ditetapkan supaya tidak berlaku pertambahan kes koronavirus (Covid-19) secara mendadak.

Katanya, walaupun kerajaan memberi kelonggaran menyambut perayaan dengan melalui beberapa syarat tetapi lebih baik beraya di rumah bersama keluarga.

Beliau memberi contoh kes wanita hamil yang dibenarkan pulang ke kampung atas alasan kesihatan dan mahu bersalin di rumah ibu bapa tetapi didapati positif Covid-19.

"Difahamkan sebelum tiba ke rumah ibu bapanya di kampung, dia sudah berjumpa dengan beberapa ahli keluarga lain. Mereka berpelukan kerana sudah lama tidak berjumpa. Saya ingin ingatkan itu ialah norma lama.

"Apabila ada kes positif, seluruh kampung walaupun tidak dianggap sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetapi semua penduduk tertakluk kepada saringan. Ia boleh dianggap seperti PKPD yang akhirnya menyusahkan mereka," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara tersebut sebenarnya menyebabkan bencana kepada seluruh kampung dan memberi kesan kepada nyawa.

"Kita tidak tahu berapa ramai warga emas dan kanak-kanak terlibat. Kita tahu golongan ini berisiko tinggi dijangkiti. Walaupun seorang sahaja dijangkiti dan bawa pulang ke kampung, ia memberi kesan besar.

"Kalau ada bertemu saudara-mara di kampung, mereka akan menjadi mangsa. Datuk, nenek, anak saudara dan cucu saudara mereka boleh dijangkiti. Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, tidak bermakna kita boleh ambil kesempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai posting daripada individu di Facebook yang mendakwa berjaya pulang ke kampung kerana tiada sekatan ketika merentas negeri, Ismail Sabri berkata, ada yang berjaya sampai ke kampung kerana melalui lorong-lorong tikus.

"Sekatan jalan raya sebelum dan selepas tol namun saya ingatkan jika mereka berjaya pulang ke kampung polis akan menjejaki mereka dan bila mahu pulang semula ke bandar kerana pasti akan melalui sekatan jalan raya ini.

"Bagi mereka yang merentas negeri menerusi laluan udara juga perlu mendapatkan kebenaran polis sebelum ini. Biasanya sekatan dilakukan sebelum sampai ke lapangan terbang atau jika polis lebih tegas mereka akan berada sebelum dewan pelepasan bagi membuat sekatan," katanya.