X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua Bersatu Teluk Intan didakwa pecah amanah

A
A

TELUK INTAN - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Teluk Intan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini, atas empat pertuduhan pecah amanah melibatkan wang lebih RM330,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Firdaus Rizal Abdul Manan, 40, juga seorang peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berjumlah RM116,187.88 iaitu wang hasil jualan sebuah rumah di Taman Kaya, Taiping.

Tertuduh turut melakukan perbuatan sama iaitu wang lebihan hasil pembelian rumah berjumlah RM18,000 dan kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bandar Baru, Teluk Intan pada 13 Julai 2018.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah harta iaitu RM176,753.88 dan RM19,430 dalam urusannya sebagai peguam di pejabatnya di Bandar Baru, Teluk Intan pada 4 Mei 2018.

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara 20 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Zamri Mohd Ibrahim.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus