Kedah larang ziarah kubur pada hari raya Aidilfitri

Syeikh Fadzil Awang
Syeikh Fadzil Awang
A
A
A

ALOR SETAR - Umat Islam di Kedah dilarang menziarahi tanah perkuburan pada hari raya Aidilfitri ini selaras ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, umat Islam tetap boleh membaca doa kepada ibu bapa yang meninggal dunia di rumah.

"Bagaimanapun, mungkin sudah menjadi kebiasaan berkunjung ke kubur menyebabkan situasi itu menjadi tradisi,"katanya pada sidang akhbar di Menara Zakat Alor Setar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ketetapan ziarah kubur pada hari raya di Kedah selepas beberapa negeri seperti Johor dan Pulau Pinang yang melarang umat Islam berbuat demikian.

Syeikh Fadzil berkata, ketetapan sama turut dilakukan terhadap bacaan talkin yang tidak dilakukan selepas selesai proses pengebumian jenazah di tanah perkuburan.

"Kunjung-mengunjung ketika Hari Raya Aidilfitri juga dihadkan kepada 20 orang sahaja dalam satu rumah.

"Kita perlu akur kerana pelanggaran terhadap arahan atau ketetapan pemimpin adalah berdosa. Arahan yang dikeluarkan untuk kebaikan dan keselamatan rakyat," katanya.

Terdahulu, Syeikh Fadzil melancarkan sijil dan logo Muzakki oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah di Menara Zakat hari ini dan hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Artikel Berkaitan: