Polis Kluang cari 14 individu

Mohd Abduh (tengah) menunjukkan senarai suspek yang dikehendaki polis.
Mohd Abduh (tengah) menunjukkan senarai suspek yang dikehendaki polis.
A
A
A

KLUANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengeluarkan senarai 14 individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah yang berlaku di daerah ini sejak tahun 2010.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, daripada jumlah tersebut seorang individu masing-masing bersabit kes bunuh dan melarikan orang dan dua individu masing-masing membabitkan pemerasan, mendatangkan kecederaan dan ragut.

“Manakala, tiga orang bagi kes rogol dan samun berkawan tanpa senjata api. Kami percaya sebilangan daripada individu yang dikehendaki ini masih tinggal di Johor.

“Ada juga yang dipercayai berada di luar negeri dan senarai yang dikeluarkan ini adalah sebahagian daripada 105 orang yang masih dikehendaki polis di daerah Kluang,” katanya pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan IPD Kluang di IPD Kluang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Adun Mengkibol, Chew Chong Sin; Adun Mahkota, Mohd Said Jonit; Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani dan ketua-ketua bahagian IPD Kluang.

Menurutnya, IPD Kluang juga akan mengeluarkan senarai nama orang yang dikehendaki ini dari semasa ke semasa kepada pihak media bagi mengesan dan membuat tangkapan sebelum mendakwa di mahkamah.

Mohd Abduh berkata, antara individu yang dikehendaki ialah P Prabu, 36; Amri Mustafa, 33; K Arvindran, 23; Saiful Bahtiar Suboh, 32; M Rajesh Khanna, 37; Muhammad Shahmi Ahmad, 31; Shahrul Anuar Ismail, 31; K Prem Rau, 28; S Yathirajan, 29; Muhamad Firdaus Kamaruzaman, 24; Eric Chew, 27; Mohamad Haizan Jamari, 26; Mohd Fikry Mohd Kahar, 34 dan Mohamad Amirul Haiqal Rosli, 26.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penama-penama berikut juga boleh menghubungi talian hotline IPD Kluang, 077784222 atau datang ke mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, sepanjang tahun lalu, IPD Kluang berjaya menumpaskan beberapa kumpulan yang terlibat dalam pelbagai jenis jenayah menerusi Op Cantas, Op Pintu, Op Lejang dan Op Rantau.

“Seramai 25 suspek ditahan hasil dari operasi yang dijalankan manakala 13 individu dijatuhkan hukum pengawasan buang daerah selama dua tahun dan 10 individu dituduh di mahkamah dan dengan tertumpasnya kumpulan jenayah ini, kita berjaya selesaikan 28 kes dalam pelbagai elemen jenayah.

“Sebagai langkah melumpuhkan jenayah terancang pula, IPD Kluang berjaya menahan seramai 20 individu atas kesalahan berunsur jenayah kekerasan, jenayah hartabenda dan aktiviti terancang dan kongsi gelap mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, dalam tempoh Januari hingga Disember 2018,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 13 individu dijatuhkan hukuman pengawasan buang daerah selama dua tahun dengan pemakaian Electronic Monitoring Device (EMD) manakala baki sebanyak tujuh individu dibebaskan arahan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ).