Seksyen 17A berkuatkuasa mulai 1 Jun

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai liabiliti korporat kekal berkuatkuasa mulai 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

Menurutnya kenyataan itu, tidak kira sama ada usaha itu dilaksanakan di peringkat jabatan kerajaan, sektor swasta mahupun dalam kalangan masyarakat sivil, usaha ini akan terus diberi keutamaan.

"Semua sedia maklum bahawa pewartaan peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 4 Mei 2018 telah menetapkan pelaksanaan Prinsip Liabiliti Korporat membabitkan organisasi komersial.

"Peruntukan ini menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi organisasi komersial sekiranya mana-mana pekerja atau pihak bersekutunya melakukan perbuatan rasuah bagi faedah organisasi tersebut. Setelah mengambil kira situasi semasa dan pandangan semua pihak, kerajaan menetapkan bahawa pelaksanaan undang-undang Liabiliti Korporat ini kekal berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020," kata kenyataan itu hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, antara lain, penetapan juga dapat menggalakkan organisasi komersial mengambil langkah bersesuaian dan selari bagi memastikan perniagaan yang dijalankan tidak terlibat dalam aktiviti rasuah untuk tujuan dan kepentingan mereka.

Sementara itu, untuk rekod Seksyen 17A menyatakan peruntukan mengenai liabiliti korporat berkaitan rasuah oleh sesebuah syarikat, pengarah, rakan kongsi, pegawai atau pengurusnya.

Jika sabit kesalahan ia boleh dihukum denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah suapan atau penjara tidak melebihi 20 tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai "prosedur yang mencukupi" dalam operasinya.