Kes penipuan pembelian dalam talian meningkat sepanjang PKP

Mohd Rosni menunjukkan laman portal yang boleh digunakan orang ramai untuk menyemak status penjual.
Mohd Rosni menunjukkan laman portal yang boleh digunakan orang ramai untuk menyemak status penjual.
A
A
A

GEORGETOWN - Jenayah siber terutamanya kes melibatkan pembelian dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 441.7 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kerugian melebihi RM1 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, peningkatan kes berlaku disebabkan pembelian secara fizikal sukar untuk dilakukan dan majoriti masyarakat di negeri ini memilih untuk membuat pembelian secara dalam talian untuk mendapatkan barang keperluan.

Menurutnya, sebanyak 130 kes dilaporkan sepanjang tempoh PKP mula dilaksanakan sejak 18 Mac hingga 19 Mei yang lalu berbanding hanya 24 kes sahaja yang berlaku untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Antara kes yang dilaporkan melibatkan pembelian penutup muka dan cecair sanitasi iaitu sebanyak 82 kes yang membabitkan kerugian mencecah RM800,000.

"Setakat ini, seramai 13 individu telah berjaya ditahan dan tiga daripadanya telah dituduh di mahkamah," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini hari ini.

Mohd Rosni berkata, jenayah dalam talian melibatkan penyamaran kononnya dari agensi-agensi penguatkuasaan (Macau Scam) turut menunjukkan peningkatan sepanjang tempoh PKP iaitu sebanyak 65.2 peratus.

Bagi kes Macau Scam katanya, sebanyak 152 kes dilaporkan berlaku dan ia melibatkan kerugian melebihi RM3.5 juta.

Selain itu, kes jenayah melibatkan pinjaman tidak wujud juga menunjukkan peningkatan ketara dengan kerugian mencecah RM1 juta semasa tempoh PKP dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini berlaku disebabkan ada dalam kalangan masyarakat yang terkesan dari segi kewangan selepas kehilangan kerja dan punca pendapatan.

"Mereka yang tertarik dengan lambakan iklan pinjaman di media sosial yang menawarkan pakej mudah dan menarik tanpa memikirkan itu adalah taktik penipuan sindiket," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rosni mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan menyemak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian dalam talian.

Katanya, pembeli juga wajar memilih aplikasi pembelian yang mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk wang tidak akan diberikan kepada penjual sekiranya barang yang dipesan belum diterima atau mereka dinasihatkan memilih kaedah bayaran setelah barang diterima (COD).

Beliau berkata, pembeli juga boleh membuat semakan menerusi portal 'Smakmule' dan memeriksa status penjual dalam talian di laman web httl://biztrust.ssm.com.my sebelum membuat pembelian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.