William cuba jolok sarang tebuan isu pembebasan Riza Aziz

Tangkap layar hantaran di Facebook Azalina yang membidas William kerana dilihat cuba mengaitkan Muhyiddin dengan pembebasan Riza baru-baru ini
Tangkap layar hantaran di Facebook Azalina yang membidas William kerana dilihat cuba mengaitkan Muhyiddin dengan pembebasan Riza baru-baru ini
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan berkaitan pembebasan Riza Shahriz Abdul Aziz atau Riza Aziz baru-baru ini disifatkan sebagai cuba 'menjolok sarang tebuan'.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau amat khuatir dengan kenyataan atau soalan William yang ditujukan kepada Perdana Menteri berkaitan kes itu.

"Izinkan saya merujuk kepada keputusan mantan Pendakwa Raya untuk 'nolle prosequi' terhadap YB Bagan (Lim Guan Eng) pada 2 Ogos 2018.

"Adakah PM7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) terlibat dalam keputusan itu, pasti tidakkan? Atau mungkin anggapan saya salah?" katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Terdahulu, William dalam satu kenyataan berkata, soalan mengenai pelepasan Riza yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada kes tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan AS$ 248 juta (RM1.25 bilion) yang berkaitan wang penyelewengan Dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya menjadi keutamaan untuk ditanya di Parlimen, malangnya Parlimen diarahkan untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong sahaja.

Sehubungan itu, William menyebar pertanyaannya ke platform Parlimen Rakyat, meminta Muhyiddin menyatakan melalui satu kenyataan umum, sama ada beliau sebagai Perdana Menteri bersetuju dengan 'plea bargaining' dan pelepasan tanpa pembebasan bagi kes Riza atas tuduhan pengubahan wang haram berkenaan.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, beliau yakin tidak perlu menerangkan lebih lanjut kepada William berhubung prinsip pemisahan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Badan Perundangan negara.

"Saya yakin saya tidak perlu mengingatkan YB (William) mengenai prinsip pemisahan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Badan Perundangan, kan?" tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Rentetan kontroversi pembebasan Riza, Muhyiddin pada Isnin lalu menegaskan, beliau tidak terbabit dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan Riza daripada pertuduhan pengubahan wang haram 1MDB.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan itu sebaliknya dicapai bersandarkan persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara.

"Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini, termasuk kes-kes berprofil tinggi," katanya.