53 peniaga diberi notis naikkan harga ayam

Adnan (kanan) dan Saiful Adli ketika lawatan pemantauan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2020 di Aeon Mall di sini hari ini.
Adnan (kanan) dan Saiful Adli ketika lawatan pemantauan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2020 di Aeon Mall di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 53 notis keperluan untuk memberi penjelasan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan kepada peniaga di negeri ini kerana dikesan menaikkan harga ayam.

Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd Rahman berkata, daripada jumlah itu, 45 ialah Notis Pengesahan Maklumat manakala lapan lagi Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 membabitkan tiga peladang, lima pembekal atau pemborong dan 37 peruncit.

Katanya, KPDNHEP negeri turut menerima sembilan aduan daripada orang awam berhubung perkara sama dan mengesan kenaikan itu bermula ketika pembukaan operasi kedai makan pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu.

“Susulan trend itu, kami memantau harga ayam dan mendapati ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan mentah tersebut sehingga tiga kali ganda.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan ayam menurun dan harga jualan serendah RM3 sekilogram tetapi apabila PKPB, permintaan meningkat seterusnya harga pun mahal mencecah lebih RM8 sekilogram,” katanya pada sidang akhbar selepas Pemantauan Sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2020 di Aeon Mall di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan, Saiful Adli Abu Bakar.

Adnan berkata, 45 notis berkenaan perlu dijawab oleh peniaga dalam tempoh satu hingga dua hari dan sekiranya sengaja atau gagal menunjukkan bukti munasabah kenaikan harga adalah disebabkan peningkatan dalam kos, maka tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga tersebut.

“Lapan notis pula yang gagal dijawab dalam tempoh tiga hari boleh didenda bagi individu maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Artikel Berkaitan:

“Bagi syarikat, didenda maksimum RM100,000,” katanya.

Sementara itu katanya, sehingga Ahad lalu bersempena SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2020, KPDNHEP sudah memeriksa sebanyak 14,528 premis merangkumi pasar raya, peruncit dan pemborong.

“Penguat kuasa terus menjalankan pemeriksaan proaktif ke atas semua peniaga ayam di peringkat pemborong dan peruncit bagi mengekang pencatutan harga di pelbagai peringkat serta rantaian,” katanya.