Tetap kutip sampah pada hari raya: SWM Environment

Pekerja SWM Environment akan bertugas untuk menguruskan sisa pepejal pada hari raya.
Pekerja SWM Environment akan bertugas untuk menguruskan sisa pepejal pada hari raya.
A
A
A

MELAKA TENGAH - SWM Environment Sdn. Bhd (SWM Environment) Melaka akan beroperasi seperti biasa pada 24 dan 25 Mei walaupun cuti umum sempena Hari Raya Adilfitri.

Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al’Ashari Othman berkata, SWM Environment merancang strategi operasi Hari Raya dengan seramai 237 pekerja akan bertugas pada Hari Raya pertama bersama kemudahan 58 kenderaan lori kompaktor dan lori tipper terbuka bagi menguruskan sisa pepejal yang disusun mengikut jadual kutipan sampah.

"101 lori kompaktor dan lori tipper terbuka dengan seramai 446 anggota pula akan bertugas pada Hari Raya kedua," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, tumpuan operasi akan diberikan kepada kawasan hotspot dan mempunyai bilangan penduduk Melayu yang ramai bagi mengelakkan berlakunya longgokan sampah yang banyak dan tidak terkawal.

Menurut Al’Ashari pihaknya, telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang memerlukan perhatian untuk kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terutama di lokasi tong sampah berpusat (hotspot) iaitu di Melaka Tengah 37; Alor Gajah 18 dan Jasin 21.

Katanya, penduduk diharapkan dapat mengendalikan sampah dengan cara yang betul melalui penerapan konsep kitar semula dan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (PSPDP) bagi mengelakkan peningkatan pembuangan sampah secara haram.

"SWM Environment memohon kerjasama daripada penduduk negeri ini agar bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran di rumah atau di mana sahaja pada musim perayaan ini.

"Elakkan pembaziran makanan sepanjang musim perayaan ini agar penjanaan sampah yang dibuang ke tapak pelupusan dapat dikurangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan melupuskan topeng muka yang telah digunakan mengikut tatacara betul sepanjang musim perayaan ini bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Sisa tersebut perlu dimasukkan ke dalam plastik yang diikat atau dibungkus rapi sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

"SWM Environment turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan semoga hari tersebut dapat diraikan dalam suasana bersih dan indah," katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, orang ramai boleh menghubungi talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472, WhatsApp 012 618 0082 ataupun emel swmresponz@swmsb.com.