Pesara tak mengaku salah tendang penghantar makanan

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pesara yang tular melalui rakaman video selepas didakwa menendang dan mengeluarkan isyarat lucah terhadap penghantar makanan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Hii King, 61, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, King pada 18 Mei lalu jam 4.10 petang, didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Shazleena Shazmi, 26, dengan menendang wanita itu di Bandar Puteri Puchong, Petaling Jaya.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan(KK).

Oleh yang demikian tertuduh boleh dipenjara setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, King pada tarikh dan masa sama, didakwa mengganggu kesantunan mangsa yang sama dengan menunjukkan isyarat lucah jari tengah dan bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan isyarat yang mengaibkan kehormatan.

Bagi pertuduhan itu, dia boleh dihukum lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara tak puas hati, penghantar makanan ditendang

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam, Lim Tien Loong, memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung anak yang masih belajar dan kini tidak mempunyai pekerjaan selepas bersara sejak lapan tahun lalu.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan, tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 16 Julai depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.