Malaysia kekurangan lebih 500,000 pekerja sektor ladang komoditi

Lebih 500,000 pekerja diperlukan di sektor perladangan komoditi. - Foto 123RF
Lebih 500,000 pekerja diperlukan di sektor perladangan komoditi. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia masih berdepan kekurangan lebih 500,000 pekerja sektor perladangan komoditi dengan anggaran masing-masing 220,00 pekerja tempatan dan 265,397 pekerja asing berdaftar bagi sektor terbabit setakat ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, angka itu adalah tidak memadai kerana Malaysia mempunyai jumlah keluasan 7.14 juta hektar tanah ladang yang memerlukan sejuta pekerja.

Menurutnya, pada masa ini, sebarang kemasukan pekerja asing telah dihentikan ekoran koronavirus (Covid-19), sekali gus memberi ruang untuk pekerja tempatan mengisi kekosongan itu.

“Covid-19 ini memberi impak (dari segi peluang pekerjaan untuk anak tempatan). Pertama, jika kita nak bincang tentang kemasukan pekerja (asing) baharu, ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana kerajaan telah buat sekatan sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Kedua, yang tinggal sekarang adalah warga kerja sedia ada yang mempunyai pas pekerja. Kadar dan jumlahnya kita kekalkan dan barangkali apabila tamat tempoh, mereka akan kembali ke negara masing-masing. Inilah ruang dan peluang untuk kita mengisi tempat mereka itu dengan tenaga kerja warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bagi mengupas tajuk Peluang Pekerjaan: Cabaran Industri Komoditi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana yang disiarkan menerusi Bernama TV, malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin mengakui industri perladangan belum mendapat sambutan warga tempatan berikutan ketiadaan insentif menarik untuk menggalakkan mereka terlibat dalam sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar.

“Majikan juga sebelum ini mungkin tiada dorongan atau motivasi untuk membuka ruang kepada anak-anak tempatan namun dalam keadaan sekarang, keperluan untuk mengambil warga tempatan adalah ketara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh aspek lain, beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan warga tempatan, terutama belia untuk menjadi usahawan dalam pelbagai sektor komoditi seperti kenaf, buluh, koko, kelapa sawit, getah dan sebagainya.

Malah, kerajaan turut menyediakan geran RM8,000 bagi tanaman koko dan sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport dan negara pengisar koko kelima terbesar dunia.

“Saya juga sudah mengarahkan pegawai saya untuk melihat tapak yang boleh dijadikan hub termasuk pusat coklat untuk orang datang melihat produk Malaysia dan akan dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, bagi penanaman kenaf, kerajaan menyediakan geran sebanyak RM2,350 bagi sehektar tanah.

Bagi perladangan getah, beliau berkata, walaupun terdapat 400,000 pekebun kecil dan penoreh getah berdaftar namun hanya sebilangan kecil yang didapati aktif.

Malah, bagi tempoh Januari-April hanya 60,000 hingga 70,000 pekebun kecil dan penoreh getah yang membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Menurutnya, selain berusaha meningkatkan saiz pekebun kecil bagi sektor perladangan, kerajaan juga dalam proses meneliti kaedah sesuai untuk meningkatkan jumlah penglibatan dalam sektor hiliran dan huluan.

Ini termasuk usaha kerajaan yang sedang mempromosikan santan sawit selain minyak masak, katanya.

“Pada masa sama, promosi minyak sawit mentah turut dipergiatkan dengan permintaan baharu diterima dari negara-negara seperti Afrika,” katanya. - Bernama