Salah kalau kata politik tiada dalam Islam, sesat: Presiden Pas

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

GOMBAK - “Salah kalau kata politik tiada dalam Islam, sesat.”

Demikian kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap kenyataan ‘tiada politik dalam Islam’ adalah satu kesesatan dibawa penjajah.

Menurutnya, Pas terpaksa menanggung dan menghadapi kesesatan itu dalam usaha menegakkan Islam di Malaysia.

“Ulama-ulama yang menubuhkan parti Pas membawa agenda dakwah dan politik, kedua-duanya sekali.

“Islam datang ke nusantara ini bukan hanya untuk mengislamkan manusia tapi islamkan kerajaan yang memerintah di nusantara.

“Penjajah yang datang mengacau, penjajah yang menghancurkan pemerintahan Islam,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Seminar Sejarah Pas, di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Seminar yang pertama kali dianjurkan itu menceritakan sejarah Pas yang disampaikan beberapa pemimpin parti yang diundang untuk berkongsi sejarah Pas kepada ahlinya dan orang awam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan Pas sedia bekerjasama dengan sesiapa pun asalkan mereka tidak mengganggu perjuangan Islam dibawa parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kita boleh bekerjasama dengan suapa saja yang sanggup bersama kita melakukan perubahan dalam negara tapi jangan kacau Islam yang kita perjuangkan.

“Bila Islam disentuh, kerjasama tak ada dengan siapa sahaja baik dari pendekatan tahaluf (persefahaman) atau taawun (tolong-menolong),” tegas beliau.