X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan tunai haji diumum selepas raya

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan sama ada rakyat Malaysia boleh menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan diumumkan selepas Aidilfitri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

"Jawapan kita bergantung kepada bagaimana kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Kita juga akan berbincang secara khusus dalam melaksanakan yang itu (haji) sekiranya dibenarkan. Keputusan itu akan diumumkan selepas mendapat satu jawapan yang rasmi daripada pihak Arab Saudi,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan CIMB Islamic Bank kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini hari ini.

Zulkifli (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Program Yadim Peduli: Musa'adah Covid-19 di Kompleks Islam hari ini. - Foto Bernama
Zulkifli (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Program Yadim Peduli: Musa'adah Covid-19 di Kompleks Islam hari ini. - Foto Bernama

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan sumbangan wang tunai RM150,000 kepada Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abd Aziz.

Nik Omar berkata, sumbangan CIMB Islamic Bank adalah untuk program Yadim Peduli: Musa'adah Covid-19 dan ia bakal diagih kepada kumpulan asnaf, B40, petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19, termasuk kumpulan khas iaitu kluster tabligh dan mahasiswa.

Program Musa'adah Covid-19 bermula pada Mac lepas dan sehingga kini, sebanyak 9,732 orang telah menerima bantuan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan asas yang membabitkan peruntukan sebanyak RM480,280. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus