PKR Perak sasar atasi keahlian Umno

 Farhash Wafa Salvador (kanan) menerima 252 borang keahlian baharu daripada seorang ahli PKR, Mohd Sutrizeno Suzari, 55, pada program tersebut.
Farhash Wafa Salvador (kanan) menerima 252 borang keahlian baharu daripada seorang ahli PKR, Mohd Sutrizeno Suzari, 55, pada program tersebut.
A
A
A

KUALA KANGSAR - PKR Perak menyasarkan pertambahan keahlian untuk mengukuhkan parti itu.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, keahlian PKR di Perak setakat ini hanya sekitar 61,000 berbanding Umno Perak yang mempunyai 300,000 ahli.

Beliau berkata, penambahan keahlian baharu akan menjadi salah satu fokus bagi kepimpinan PKR yang baharu diterajuinya.

"Walaupun PKR dah bertapak lebih 20 tahun, tapi keahlian kita baru 61,000 ahli. Saya ambil contoh Kuala Kangsar kita ada 1,766 ahli selepas 20 tahun. Tapi Alhamdulillah dalam tempoh saya ambil alih sebagai Ketua Cabang Kuala Kangsar, keahlian bertambah dua kali ganda.

"Matlamat saya untuk PKR di Kuala Kangsar dan di Perak ini, keahlian kita harus lebih ataupun paling kurang pun sama banyak dengan Umno," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Peduli Rakyat Dun Manong Parlimen Kuala Kangsar anjuran Wanita PKR Cabang Kuala Kangsar di Dataran Aman Jaya, Pekan Manong, di sini.

Farhash Wafa Salvador berkata, jumlah ahli yang banyak penting untuk mencerahkan peluang parti menang pada pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua Cabang PKR di Perak diarah melaksanakan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program seperti Peduli Rakyat perlu dibuat bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

"Program Peduli Rakyat seperti ini kita dapat beritahu rakyat tentang bantuan atau perkhidmatan yang disediakan rakyat kerana selama ini ramai yang tak tahu tentang bantuan kerajaan kepada mereka.

"Jadi setiap cabang perlu buat program seumpama ini dan kita tidak akan tinggalkan mana-mana cabang sama ada kita bertanding ataupun tidak," katanya.