Dua tahun ikut kawan berpuasa

Cuba-cuba berpuasa sebelum bergelar Muslim pada tahun 2000 adalah pengalaman yang cukup indah dalam kehidupan Ar Amalina Lily.
Cuba-cuba berpuasa sebelum bergelar Muslim pada tahun 2000 adalah pengalaman yang cukup indah dalam kehidupan Ar Amalina Lily.
A
A
A

PAHANG - Sebelum secara rasmi bergelar Muslim sekitar tahun 2000, Ar Amalina Lily Khoo Abdullah, 52, mengakui dia cuba-cuba belajar berpuasa dua tahun sebelum itu.

“Pada masa itu, saya masih menuntut dalam jurusan seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

“Di dalam kelas, hanya enam orang yang bukan beragama Islam termasuk saya. Jadi, bila tiba bulan Ramadan ketika rakan-rakan Islam berpuasa, timbul rasa segan untuk makan walaupun kafeteria universiti dibuka.

“Bagi menghormati rakan-rakan yang beragama Islam, saya ambil keputusan untuk tidak makan pada bulan puasa. Walaupun lapar, saya hanya minum air,” ceritanya kepada Sinar Harian.

Pemilik sebuah syarikat arkitek itu berkata, ketika itu beliau cuba berpuasa dengan niat untuk berdiet.

“Bagaimanapun, pada bulan Ramadan tahun berikutnya, saya berpuasa penuh walaupun tanpa niat.

“Saya rasa seronok berpuasa walaupun sekadar ikut-ikutan. Paling seronok waktu berbuka puasa bersama rakan-rakan lain walaupun hanya berbuka di gerai dengan juadah yang ringkas seperti mi goreng dan cendol,” katanya.

Menurutnya, apabila masuk waktu berbuka, beliau turut menadah tangan dan mengaminkan doa berbuka puasa yang dibacakan rakannya.

Artikel Berkaitan:

“Memang seronok dan 'happy' lain macam ketika itu. Bermula dari situ jugalah timbul minat untuk mendalami ibadah puasa dan saya mula bertanya rakan-rakan Islam tentang kelebihannya.

“Itu pengalaman yang amat indah dan bermakna dalam kehidupan saya. Alhamdulillah, melalui penjelasan rakan-rakan, timbul kesedaran dalam diri saya untuk terus berpuasa,” katanya.

Ar Amalina Lily berkata, kerana puasa itu jugalah hubungannya dengan rakan-rakan beragama Islam menjadi semakin rapat.

“Akhirnya ALLAH SWT bukakan pintu hidayah untuk saya melafazkan dua kalimah syahadah sekali gus sah bergelar mualaf. Pada Ramadan tahun berikutnya, saya berpuasa sebagai seorang Islam.

“Banyak dugaan ketika pertama kali berpuasa dengan niat ini. Ia meletihkan. Mujurlah ada seorang rakan beri petua supaya baca surah al-Fatihah apabila lapar.

"Dia kata, anggaplah surah tersebut sebagai makanan dan saya jadikannya sebagai amalan. Ternyata ia benar-benar berkesan dan puasa saya berjalan lancar serta tidak terlalu meletihkan,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Ar Amalina Lily berkata, beliau juga pernah berbuka puasa dengan keluarga termasuk ibu yang bukan Islam.

“Pernah semasa pulang bercuti hari raya, saya membeli makanan untuk berbuka puasa kerana ketika itu masih waswas dengan status halal makanan yang dimasak oleh ibu.

“Namun, sebenarnya ibu faham keperluan makanan yang halal untuk saya, jadi biasanya dia akan masak asing dan kadang-kadang dia bungkus makanan di kedai,” katanya.

Menurutnya, bapanya pula sememangnya kagum dengan kemampuan beliau berpuasa dan sentiasa memberikan sokongan walaupun mereka berbeza agama.