Dadah RM2.14 juta dalam kondominium

Mohmad (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohmad (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah bergerak licik menjadikan kondominium sebagai stor simpanan dadah sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket yang dipercayai aktif sejak 10 bulan lalu ini berjaya dihidu pihak berkuasa dalam serbuan berasingan di Selangor dan Kuala Lumpur, Rabu lalu, membabitkan rampasan dadah bernilai RM2.14 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan pertama bermula jam 10.30 malam itu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dengan tertangkapnya dua lelaki.

"Susulan itu, serbuan kedua membawa rampasan pelbagai jenis dadah iaitu syabu, eramin 5, ekstasi dan heroin yang ditemui dalam sebuah kenderaan di parkir kondominium di Wangsa Maju.

"Turut ditahan adalah dua lelaki di kondominium terbabit," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, soal siasat kemudian membawa serbuan ketiga dan keempat di dua buah kondominium terletak di Shah Alam dengan rampasan pelbagai paket dadah.

Katanya, dianggarkan keseluruhan nilai dadah membabitkan 19.6 kilogram disyaki bahan asas proses heroin (heroin base), heroin (11.8 kg), syabu (1.5 kg), eramin 5 (4,250 biji) dan ekstasi (3,380 biji) bernilai RM2.14 juta.

Mengulas lanjut, tiga buah kenderaan jenis Mitsubishi Triton, Perodua Myvi dan Perodua Kelisa serta sebuah Yamaha 135 LC telah disita.

Artikel Berkaitan:

Mohmad mendedahkan, sindiket yang aktif di sekitar Lembah Klang ini dipercayai mendapat bekalan dadah dari pantai timur dan menjadikan kondominium terbabit sebagai stor simpanan dadah.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.