Syurga barangan terpakai

pesta 2
pesta 2
A
A
A

KUALA NERUS - Kira kira 5,000 pengunjung membanjiri Pantai Teluk Ketapang setiap Jumaat sekaligus mempopularkan pantai berkenaan sebagai antara pantai peranginan pilihan pengunjung di Terengganu.

Bagi masyarakat luar, mereka mesti tertanya-tanya, apa menariknya di Pantai Teluk Ketapang jika sekadar ingin beriadah bersama keluarga di pantai kawasan lain pun ada, malah lebih indah suasananya.

Sebenarnya kawasan itu amat istimewa, selain dilengkapi kemudahan riadah, aktiviti berkuda dan sukan ekstrem, pelbagai barangan terpakai dapat dilihat dijual peniaga tempatan dan dari luar negeri ini.

Operasi perniagaan bermula kira kira jam 4 petang dan berlanjutan sehingga matahari terbenam dengan ratusan kenderaan masuk ke kawasan itu hingga menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

Lebih 30 pilihan gerai menjual pelbagai jenis barangan terpakai tidak termasuk gerai pakaian baharu, gerai makanan dan minuman manakala suasananya semakin sibuk selepas waktu Asar.

Sebut sahaja jenis barangan yang diinginkan semuanya ada, pengunjung hanya perlu menyediakan wang sahaja.

pesta 1
pesta 1

Meskipun barangan dijual adalah barangan terpakai, namun ia masih elok kerana peniaga telah memastikan pakaian, kasut dan cadar mahupun sarung bantal dicuci bersih sebelum menjualnya semula.

Artikel Berkaitan:

Bagi seorang peminat barangan bundle, Shamsuddin Din, 37, ada juga pakaian bundle dijual tidak mempunyai kualiti, misalnya warna yang luntur namun harga yang ditawarkan sesuai dengan kualiti.

"Faktor inilah yang mendorong ramai remaja membeli pakaian bundle dan mana nak cari sehelai baju dijual pada harga serendah RM1," katanya sambil memilih baju T di sebuah gerai bundle.

Menurutnya, keseronokan membeli pakaian bundle juga disebabkan keasyikan ketika memilih dan jika pengunjung teliti memilih, pasti mereka akan menemui pakaian berjenama yang kelihatan baru.

"Kadangkala, saya menghubungi peniaga bundle yang biasa dengan saya untuk mendapatkan pakaian bundle yang baru sebelum saya dan rakan akan serbu ke kedai mereka," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Mohd Alias Ismail, 41, berkata, beliau sering berkunjung ke Pantai Teluk Ketapang, sekurang-kurang sekali dalam sebulan kerana tinggal di luar daerah itu.