Jumlah pengguna pengangkutan awam meningkat

Tren Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) - Foto Bernama
Tren Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga kota dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi menaiki pengangkutan awam serta yakin menggunakan perkhidmatan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Muhammad Nizam Alias berkata, sejak perkhidmatan itu kembali beroperasi 4 Mei lepas, jumlah penumpang meningkat secara drastik dan menjangkakan jumlah penumpang akan terus meningkat selepas sambutan Aidilfitri.

"Kami berharap lebih ramai lagi akan memilih untuk menggunakan pengangkutan awam dan yang paling penting kami ingin memaklumkan orang ramai bahawa pengangkutan awam tetap selamat digunakan.

"Kami sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan seperti melaksanakan disinfeksi, membersih dengan kerap serta memastikan penjarakan sosial," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan pematuhan jarak sosial di dalam bas dan tren bersama Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai langkah membanteras penularan Covid-19.

Muhammad Nizam dan Tajuddin membuat tinjauan dengan menaiki bas Rapid KL dari hab bas Bangsar ke MRT Semantan, sebelum beralih menaiki MRT laluan Sungai Buloh-Kajang untuk menuju ke Pasar Seni.

Tajuddin turut menyampaikan sumbangan cecair pembasmi kuman dan pelitup separuh muka kepada penumpang pengangkutan awam itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: