Bersatu buat laporan polis terhadap Xavier

Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju mengenai bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar kerana menghina institusi diraja.
Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju mengenai bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar kerana menghina institusi diraja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Wangsa Maju membuat laporan polis terhadap satu video yang tular membabitkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Ketuanya, Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee berkata, berdasarkan video berdurasi tiga minit itu, Ahli Parlimen Kuala Langat terbabit mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

"Tindakan Xavier jelas menunjukkan yang beliau bukan saja menghina sistem Raja Berperlembagaan di negara ini malah mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang berkenan memilih pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pakatan Harapan (PH) yang kini berada di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen perlu menerima hakikat sekali gus meraikan demokrasi sebagai yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu video Xavier yang disiarkan menerusi beberapa media sosial yang menyifatkan persidangan berkenaan sebagai sampah dan tidak berguna.

Menurut Mohammed Ridzal, penjelasan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah mengenai krisis politik yang berlaku adalah amat jelas dan perlu dihormati oleh semua ahli dewan rakyat.

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin lalu akan menyaksikan istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen.

Daripada di jadual selama sehari, ia kemudian dipendekkan untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Persidangan tersebut menarik perhatian apabila ia yang pertama bagi menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Sidang pertama ini sepatutnya diadakan antara 9 Mac hingga 16 April lalu, tetapi ditangguhkan kerana negara berdepan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, jangka masa yang ditetapkan untuk persidangan itu mendapat tentangan daripada parti pembangkang malah terdapat usul untuk membuat undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.