Semua premis milik MPSP adalah kawasan larangan merokok

Rozali (lima,kiri) bersama Rosnani (enam,kanan) memasang tanda larangan merokok di Kompleks Penjaja Pasar Awam Kota Permai, semalam.
Rozali (lima,kiri) bersama Rosnani (enam,kanan) memasang tanda larangan merokok di Kompleks Penjaja Pasar Awam Kota Permai, semalam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengingatkan kepada semua penyewa premis di 66 kompleks makanan miliknya agar mematuhi peraturan larangan merokok seperti yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Yang Dipertua MPSP, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, mereka bukan sahaja perlu memastikan papan tanda amaran larangan merokok telah dipasang tetapi juga harus memastikan tiada bekas abu rokok mahupun tong sampah yang mempunyai tempat membuang abu rokok di sediakan selain ruangan khas untuk perokok di dalam kawasan kesemua kompleks makanan milik MPSP.

Menurutnya, peniaga juga bertanggungjawab untuk memastikan tiada pelanggan mereka yang sewenang-wenangnya merokok di dalam premis makanan atau mereka bakal berdepan dengan tindakan mengikut Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Kesemua pemilik, pengusaha atau tuan premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

"Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi setahun," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran papan tanda dilarang merokok di Kompleks Penjaja Pasar Awam Kota Permai di sini.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir Rosnani Mahmod.

Rozali berkata, selain memasang papan tanda larangan itu di 66 kompleks makanan MPSP, pihaknya juga telah memasang papan tanda amaran sama di 30 pasar awam, taman rekreasi dan kawasan awam di seluruh kawasan Seberang Perai.

Katanya, orang ramai perlu diingatkan penguatkuasaan larangan merokok ini bukan sahaja di premis makanan sama ada berhawa dingin ataupun tidak malah larangan itu juga meliputi gerai-gerai makanan di tepi jalan ataupun kenderaan bergerak seperti 'food truck'.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan ini bertujuan untuk melindungi orang awam terutamanya golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

"Ia juga bertujuan untuk membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutamanya di kawasan tumpuan awam," katanya.

Tambahnya, sepanjang penguatkuasaan larangan ini dijalankan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat lawatan penguatkuasaan pendidikan di 1,432 premis makanan di seluruh Seberang Perai dan mendapati sebanyak 435 premis makanan yang tidak mempunyai tanda larangan merokok.

Dalam tempoh 1 sehingga 16 Januari, KKM juga telah memberi amaran kepada 4,215 pengusaha dan lapan orang perokok.