Perantau jange kelik Kelate!

Halim Ahmad
Halim Ahmad
A
A
A

PASIR MAS - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Kelantan mahu anak-anak negeri ini yang berada di perantauan patuh kepada arahan kerajaan dengan tidak pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Ahad depan.

Yang Dipertua PPKM Kelantan, Datuk Halim Ahmad berkata, langkah tersebut bagi memastikan rantaian penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19) berjaya diputuskan dengan sebaik mungkin.

"Kita bimbang, jika ada dalam kalangan anak perantau yang 'berdegil' untuk pulang sebenarnya boleh mengundang risiko dengan mendedahkan keluarga mereka kepada Covid-19.

"Kepada ibu bapa di kampung perlu reda dengan keadaan sekarang dan marah anak jika mereka nak pulang ke kampung" katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beberapa kawasan di Lembah Klang masih mencatat kes Covid-19.

"Saya akui saat ini agak sukar untuk kita semua kerana setiap tahun anak-anak perantau akan berduyun-duyun pulang menyambut hari lebaran bersama keluarga masing-masing di kampung.

"Namun tahun 2020 kita semua diuji apabila menyambut lebaran tanpa kepulangan anak-anak perantau yang mencari rezeki di luar Kelantan.

"Jadi, saya harap kita semua tabah menjalani ujian ini dan terus berdoa di malam-malam akhir Ramadan supaya Covid-19 terus lenyap dari muka bumi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Halim berkata, PPKM Kelantan turut menyokong penuh langkah kerajaan untuk mengenakan tindakan tegas ke atas individu atau mana-mana pihak yang melanggar peraturan rentas negeri sebagaimana termaktub di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, beliau berharap anak-anak Kelantan di perantauan dapat menghormati keputusan itu dengan hati terbuka.

"Selepas sebulan kita berada di zon hijau, hari ini seluruh rakyat Kelantan dikejutkan dengan kehadiran kes Covid-19 yang baharu.

"Saya difahamkan kes tersebut dibawa oleh anak perantau ketika sempadan negeri dibuka baru-baru ini dan dia dilaporkan positif wabak itu," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub melahirkan kebimbangan dengan sikap segelintir anak perantau yang ‘curi-curi’ balik ke negeri ini menggunakan laluan tikus semasa pelaksanaan PKPB untuk menyambut hari lebaran.

ARTIKEL BERKAITAN Kelantan bimbang perantau balik ikut laluan tikus