Perak umum bonus RM1,000 kepada penjawat awam

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan khas tersebut akan mula dibayar pada hari ini.

Menurutnya, pemberian tersebut sebagai tanda penghargaan kepada semua kakitangan pentadbiran kerajaan negeri di atas kerja keras dalam membantu rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semoga bantuan khas ini juga sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban penjawat awam yang terkesan akibat pelaksanaan PKP susulan penularan pandemik Covid-19.

"Saya ingin menyeru agar bantuan ini dibelanjakan sebaiknya untuk persiapan Aidilfitri yang sederhana, agar bantuan ini akan nanti sampai juga ke kantung peniaga-peniaga dan penjaja kecil seluruh negeri Perak hendaknya," katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua di Pejabat Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut berpesan kepada jabatan kerajaan supaya mengelak perbelanjaan untuk perkara-perkara yang tidak perlu.

Katanya, peruntukan yang disediakan perlu dibelanjakan untuk merangsang ekonomi negeri dengan menyokong perniagaan restoran dan hotel tempatan melalui penganjuran mesyuarat serta tempahan makanan.

"Saya ingin menyeru kepada semua rakyat untuk terus cekal. Jangan sesekali berputus harap. Marilah kita bangkit untuk meneruskan kehidupan. Amalkan disiplin norma baharu untuk kekal selamat. Yakinlah bahawa dengan bekerja kuat dan disertai dengan doa, kita mampu mengatasi ujian ini.

Artikel Berkaitan:

"Pandemik Covid-19 ini adalah satu ujian. Pilihan adalah di tangan kita sendiri. Sama ada kita memilih untuk berusaha keluar daripadanya atau terus tenggelam di dalamnya," katanya.