Sila log masuk terlebih dahulu.

Kuota agihan Exco Kedah diputuskan PN Pusat

Muhammad Sanusi (tengah) beramah mesra bersama anggota Exco seusai majlis angkat sumpah Exco Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) beramah mesra bersama anggota Exco seusai majlis angkat sumpah Exco Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah dianggotai 10 ahli, dibarisi empat daripada Pas, tiga wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dua daripada Bebas, serta seorang wakil UMNO.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, formula ini ditentukan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) peringkat Pusat menerusi konsensus bersama.

Menurutnya, agihan kuota terbabit merupakan persetujuan yang dicapai untuk membentuk PN di Kedah.

“Peringkat Pusat yang tentukan, kita di peringkat negeri hanya melaksanakan apa yang dipersetujui oleh pemimpin parti,” katanya, pada sidang media selepas majlis angkat sumpah jawatan Exco Kedah berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman hari ini.

Pelantikan itu menampilkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang sebelum ini mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).

Tiga ADUN Bersatu yang dilantik merupakan ADUN yang beralih sokongan terhadap kepimpinan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyebabkan Pakatan Harapan (PH) Kedah tersungkur, iaitu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) serta Mohd Firdaus Ahmad (Kuah).

Empat ADUN Pas adalah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai), Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang), Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (Kupang) serta Datuk Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas).

Wakil daripada UMNO merupakan bekas Exco, iaitu Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang).

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi turut menafikan dakwaan kononnya lima ADUN yang dilantik sebagai Exco ditawarkan jawatan terbabit sekiranya mereka menyatakan sokongan kepada PN, dengan meninggalkan PH Kedah.

“Itu urusan parti-parti yang membentuk PN di peringkat Pusat, tiada perbincangan agihan di peringkat negeri. Tiada tawaran seumpama ditawarkan. Mereka bukan lompat parti dan masih dalam parti sama serta dua lagi bebas. Kita dapat kerjasama penuh dari semua parti di Pusat, menyebabkan proses di peringkat negeri lancar,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin pengalaman dan kejituan barisan Exco bakal melonjakkan Kedah ke tahap lebih baik.

“Saya bersyukur ia selesai dengan pantas dan tanpa masalah seperti di negeri lain. Kita gabungkan semua kepakaran dan latar belakang yang pelbagai untuk membentuk pasukan mantap menerajui negeri,” katanya.

Muhammad Sanusi yakin kelebihan Exco berpengalaman akan melancarkan kesinambungan gerak kerja yang bermula dua tahun lalu.

“Kita juga melantik tiga wakil wanita sebagai Exco dalam memenuhi kuota 30 peratus wanita dalam pentadbiran. Ia sebagai menghargai peranan dan penglibatan mereka dalam kepimpinan,” katanya, yang mempengerusikan mesyuarat Exco pertama sejurus selesai sidang media.

Dalam perkembangan lain, katanya, jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan diumumkan dalam persidangan akan datang.

Mengulas kemelut pemain pasukan Lang Merah yang berdepan tunggakan gaji, Muhammad Sanusi selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu tegaskan, perjumpaan dengan pengurusan akan diadakan segera bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Saya dimaklumkan ia berkaitan kekangan kewangan, saya akan dapatkan kedudukan sebenar isu ini dan akan keluarkan kenyataan,” katanya.