Pusat panggilan judi 'online' di Mont Kiara diserbu

Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pejabat di Mont Kiara semalam.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pejabat di Mont Kiara semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sembilan individu termasuk empat wanita yang dipercayai terlibat kegiatan judi secara dalam talian ditahan polis dalam serbuan di sebuah pejabat di Mont Kiara di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur menyerbu pejabat berkenaan pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan itu berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun dipercayai pekerja pusat panggilan itu.

“Kita turut merampas 10 set komputer, monitor (19), keyboard (sembilan), tetikus (sembilan), telefon bimbit (enam), salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (enam) dan router (dua).

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan di 'calling center' itu dianggarkan RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti promosi perjudian pasaran negara China dan Asia menggunakan aplikasi WeChat, Telegram dan QQ Chat.

“Premis itu didapati beroperasi 24 jam sehari sejak setahun lalu, pekerja berkenaan akan mengawal komputer utama serta telefon bimbit.

"Anggaran keuntungan urusniaga sindiket ini pula dianggarkan RM500,000 sehari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, kadar sewaan premis itu adalah RM6,000 sebulan dan gaji pekerja pula antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.