Lima ditahan merusuh di hospital

Antara rakaman pergaduhan yang tular di media sosial.
Antara rakaman pergaduhan yang tular di media sosial.
A
A
A

IPOH - Lima lelaki termasuk seorang remaja ditahan selepas didapati membuat kecoh dan bergaduh di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.18 petang itu, kesemua mereka berusia 17 hingga 47 tahun ditahan untuk disiasat atas kesalahan merusuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pergaduhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara satu sama lain susulan kejadian pukul membabitkan kakak salah seorang daripada mereka.

"Ketika kejadian, seorang daripada yang ditahan itu berada di hospital untuk mengambil kakaknya membuat aduan polis namun terjumpa dengan beberapa lelaki yang memukul kakaknya.

"Kemudian berlaku kekecohan dan pertengkaran antara kedua-dua pihak di lobi hospital terbabit, bagaimanapun kejadian berjaya dihalang pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian," katanya.

Rakaman video kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

A Asmadi berkata, adik kepada wanita berkenaan telah membuat laporan polis semalam selepas mendakwa dipukul menggunakan topi keledar dan diugut bunuh oleh empat lelaki terbabit.

Katanya, polis turut menerima laporan daripada kakak pengadu mendakwa dia telah dipukul oleh beberapa lelaki dan wanita di sebuah rumah di Kampung Gunung Cheroh.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati rakaman video yang diambil oleh orang awam itu nampak kehadiran pengadu dan beberapa lelaki bergaduh di pekarangan hospital.

"Pengadu telah diarahkan terima rawatan di hospital, semakan awal didapati tiada sebarang luka atau lebam pada mana-mana bahagian tubuh badan pengadu.

"Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan dalam kes ini bagi membantu siasatan sementara empat yang lain ditangkap bersangkut kes pukul kakak pengadu," katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.