X

Kindly register in order to view this article
!

Pesakit kanser hidung jual arnab bayar hutang PTPTN

Abdul Halim menunjukkan arnab yang dibelanya.
A
A

MACHANG - Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Warisan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap kanser menjalankan perniagaan menjual arnab bagi mengumpul wang untuk membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Abdul Halim Mat Hassan, 26, yang menghidap kanser hidung tahap empat berjaya menamatkan pengajiannya tahun lalu dan disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan, konvokesyen diadakan di rumah keluarganya di Kampung Kok Kiak Baka di sini.

Anak ketujuh daripada 10 adik-beradik yang mula memelihara arnab sejak beberapa tahun lalu membuat keputusan untuk menjual arnabnya itu bagi menampung perbelanjaannya.

"Perancangan asalnya, saya mahu bekerja sendiri untuk menyara kehidupan saya sebab saya hanya mampu makan nestum beras sahaja. Sebab itu saya perlu ada duit sendiri sebab tidak mahu susahkan keluarga.

"Tapi kesihatan tidak mengizinkan. Saya makin tidak sihat, saya gagahkan juga sebab saya tahu saya masih ada hutang dengan PTPTN dan juga perlu sara diri sendiri," katanya.

Halim (kiri) bersama bapanya memberi makanan kepada arnab peliharaannya.
Halim (kiri) bersama bapanya memberi makanan kepada arnab peliharaannya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Warisan (kepujian) ini juga mengambil inisiatif mengadakan kelas tambahan di rumahnya dan mempunyai 40 orang pelajar.

Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan Mac lalu, kelas tambahan tersebut terpaksa dibatalkan sementara waktu.

"Mereka pun bayar sekadar saja, sebab saya tidak letak apa-apa harga. Saya mahu mendidik mereka supaya mereka mampu ke menara gading macam saya. Saya nak pergi jauh sudah tidak mampu," katanya.

Mengulas lanjut, Halim berkata, beliau pernah membuat permohonan untuk pengecualian pembayaran PTPTN namun tiada sebarang jawapan diperoleh.

"Saya berharap sangat hutang dapat dikurangkan, tidak mengapa kalau tidak dapat pengecualian. Asalkan jumlah berkurangan. Saya berharap pihak berwajib dapat bantu saya nanti. Insya-ALLAH," katanya.

Abdul Halim memberi arnabnya makan.
Abdul Halim memberi arnabnya makan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus