Covid-19: Selangor bebas zon merah

Info grafik mengenai maklumat kes Covid-19 di negeri Selangor yang dikongsikan STFC di Facebook rasminya.
Info grafik mengenai maklumat kes Covid-19 di negeri Selangor yang dikongsikan STFC di Facebook rasminya.
A
A
A

SHAH ALAM - Daerah Petaling yang sebelum ini ditakrif sebagai zon merah kini bertukar menjadi zon kuning menjadikan semua daerah di Selangor kini bebas zon merah kes aktif positif koronavirus (Covid-19).

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dikongsikan di Facebook rasminya memaklumkan, dua mukim juga bersih daripada kes aktif iaitu mukim Hulu Bernam dan Hulu Yam menjadikan jumlah mukim berstatus zon hijau kini sebanyak 32 mukim.

“Daerah Petaling bertambah baik kepada zon kuning. Kini Selangor bebas daripada daerah zon merah. Tahniah semua warga Selangor yang berdisiplin!” menurut kenyataan yang dimuat naik tersebut.

STFC dalam pada itu turut mengingatkan warga Selangor supaya tidak melakukan perjalanan merentas negeri untuk beraya di kampung. Warga Selangor dilarang merentas negeri untuk beraya di kampung.

“Beraya di rumah sendiri lebih selamat bagi orang tua serta komuniti anda. Gunakan teknologi yang ada untuk berhubung ketika raya nanti. Manfaatkan teknologi untuk eratkan silaturahim keluarga,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, lapan daerah di Selangor kini ditakrif sebagai zon kuning manakala daerah Kuala Langat masih kekal sebagai zon hijau.

Selangor mencatatkan enam kes baharu sehingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah kes keseluruhan yang dijangkiti Covid-19 sebanyak 1,650 kes.

Daripada jumlah itu, 1,481 pesakit dilaporkan telah sembuh manakala 101 kes lagi masih aktif.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 21 kematian direkodkan di Selangor akibat dijangkiti wabak berkenaan.