Giliran Guan Eng bidas Najib tidak tahu beza UIM dengan UIAM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak tahu membezakan antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan Universiti Islam Malaysia (UIM).

Menurut Guan Eng, UIM sebenarnya merupakan sebuah sebuah kolej swasta yang tidak berasaskan keuntungan yang beroperasi di Cyberjaya dan bukan universiti awam milik kerajaan seperti yang didakwa Najib.

“Beliau (Najib) nampaknya keliru dan tidak tahu bahawa UIM adalah berbeza dan berlainan daripada UIAM. Amatlah dikesali bahawa beliau tidak tahu perbezaan di antara UIM dan UIAM sungguhpun telah memegang jawatan kerajaan sekian lama dan berkhidmat di Putrajaya selama lebih 20 tahun.

“Apakah Najib tidak membaca dengan telilti dahulu sebelum membuat tuduhan sebegini, kerana dia telah melakukan kesilapan besar dengan menganggap bahawa UIM, sebuah kolej swasta bukan untuk keuntungan yang berteraskan wakaf, adalah institusi yang sama dengan UIAM,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Najib membuat satu hantaran menerusi akaun Facebooknya yang mempertikaikan perbandingan di antara pemberian Menteri Kewangan sebanyak RM15 Juta kepada UIM dengan pemberian sebanyak RM6 Juta kepada Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang.

Jelas Najib, perbandingan tersebut adalah tidak masuk akal dan memperlekehkan rakyat dengan mengutarakan soalan, “Adakah Guan Eng tidak faham perbezaan antara kolej swasta dengan universiti awam milik kerajaan?”

Bagaimanapun, Guan Eng memberitahu, UIM yang ditubuhkan di Cyberjaya pada tahun 2012, yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Islam Malaya merupakan sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh-tokoh di Malaysia, dinaiktaraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Mustahil seorang bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?

Artikel Berkaitan:

"Sekarang siapa yang membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat?

"Seharusnya Najib patut memohon maaf atas kesilapannya tetapi saya yakin beliau tidak akan berbuat demikian kerana beliau rasa “tidak boleh buat salah,” ujarnya.