X

Kindly register in order to view this article
!

Ataya, Almeida barakan semangat Lions

- Foto UiTM FC
A
A

KEHADIRAN dua pemain import, Rabih Ataya dan Gustavo Almeida akan membantu barisan muda UiTM FC memberi saingan sengit kepada pasukan gergasi tanah air dalam penampilan sulung saingan Liga Super musim ini.

Kapten UiTM FC, Muhammad Faizal Mohd Arif berkata, Ataya dari Lubnan dan Almeida dari Brazil, banyak membimbing pemain muda The Lions yang terdiri daripada penuntut UiTM, untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

Berdasarkan statistik, purata umur pemain UiTM FC adalah 24.87 tahun diikuti Felda United FC (26.35 tahun) dan Kedah di tangga ketiga (26.72 tahun).

“Kalau diikutkan, saya dan rakan-rakan agak takut untuk bermain di Liga Super musim ini, kerana pasukan ini telah berubah wajah sepenuhnya dengan hanya 10 ke 15 peratus sahaja muka lama, di samping 80 ke 85 peratus merupakan pelajar UiTM sendiri.

“Situasi ini agak berbeza sepanjang lima musim saya main di sini, di mana tiada banyak perubahan berlaku dalam pasukan, jadi soal keserasian atau persefahaman bukan menjadi satu perkara utama.

“Namun apabila liga telah bermula, saya baharu nampak yang kami boleh bersaing, biarpun kami terdiri ramai daripada pemain muda dengan berjaya berikan cabaran hebat kepada pasukan-pasukan lain,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Ataya pemain tertua dalam UiTM FC iaitu 31 tahun manakala pemain termuda adalah Muhd Nashran Elias (19).

Dalam pada itu, Muhammad Faizal menyifatkan saingan dua liga terkemuka, iaitu Bundesliga dan K- League yang sedang berlangsung ketika ini, memberi harapan supaya saingan Liga Malaysia (Liga-M) dapat disambung dalam tempoh terdekat, walaupun negara sedang berhadapan wabak koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, saingan Liga-M seharusnya boleh diteruskan sekiranya, pihak terlibat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Apa yang berlaku di sana membolehkan kita boleh belajar sesuatu dan saya tidak nampak kenapa pegawai serta pemain di sini tidak mampu ikuti segala SOP yang disediakan nanti, asalkan liga kita dapat kembali bersambung.

“Isu main di stadium kosong tanpa penonton dan beberapa langkah lain yang turut diambil seperti proses saringan, bagi saya tiada masalah, kerana semua pihak memahami norma baru yang kita sedang hadapi,” jelas Muhammad Faizal.

UiTM yang dibimbing jurulatih dari Jerman Frank Bernhardt, kini menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan dalam carta Liga Super menerusi kutipan empat mata, selepas empat perlawanan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus