Enam individu kelab EPL positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

LIGA Perdana telah mendedahkan enam pemain atau kakitangan kelab Inggeris diuji positif Covid-19 selepas dua hari pertama ujian dilakukan.

Dalam 748 ujian yang telah dibuat pada Ahad dan Isnin lalu, pandemik itu telah tersebar di tiga kelab. Namun, tidak ada keterangan lanjut yang diberikan dan difahamkan bahawa pihak Liga Perdana sedang menunggu keputusan sekurang-kurangnya daripada satu kelab.

"Liga Perdana hari ini dapat mengesahkan bahawa pada hari Ahad 17 Mei dan Isnin 18 Mei, 748 pemain dan kakitangan kelab diuji untuk Covid-19.

"Daripada jumlah itu, enam diuji positif daripada tiga kelab. Pemain atau kakitangan kelab yang telah diuji positif kini akan mengasingkan diri selama tujuh hari.

"Liga Perdana memberikan maklumat gabungan ini untuk tujuan integriti dan pengawasan persaingan.

"Tidak ada perincian khusus mengenai kelab atau individu yang akan diberikan oleh Liga Perdana kerana syarat undang-undang dan operasi,” kata kenyataan Liga Perdana.

Terdahulu, pihak Liga Perdana mengarahkan setiap pemain dan kakitangan kelab menjalani ujian Covid-19 sebagai sebahagian daripada proses yang dirancang untuk membolehkan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) disambung semula Jun depan.

Pada masa sama, kelab-kelab dibenarkan kembali menjalani sesi latihan, namun masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan: