Ronaldo pakej penyerang sempurna

Cristiano Ronaldo
Cristiano Ronaldo
A
A
A

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo disifatkan memiliki pakej penyerang sempurna yang wajar dicontohi dalam kalangan pemain muda pada masa depan.

Menurut Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al Khelaifi, sesuatu yang menarik mengenai tonggak Juventus berusia 35 tahun itu adalah karakternya yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti permainannya setiap masa.

“Jika dilihat Ronaldo adalah seorang pemain yang tidak pernah berpuas hati dengan pencapaiannya walaupun sudah meraih banyak kejayaan luar biasa, baik secara individu mahu pun pasukan diwakilinya.

“Tahun demi tahun, dia selalu menunjukkan keazamannya yang unik, sebuah kekuatan karakter yang luar biasa. Secara jujur saya mengagumi semangat tidak pernah berputus asa yang boleh dicontohi semua atlet pada masa depan.

“Ronaldo tetap bermotivasi untuk meningkatkan kemampuan setiap hari dan dia selalu memberikan dorongan kepada dirinya untuk mencapai potensi pada tahap terbaik setiap masa,” kata Nasser.

Ronaldo masih memiliki kontrak dua tahun bersama The Old Lady dijangka mengakhiri hubungannya bersama gergasi Serie A pada usia 37 tahun.

Kenyataan ahli perniagaan dari Qatar berusia 46 tahun itu secara tidak langsung menyatakan keinginannya untuk membawa bekas pemain Sporting Lisbon, Manchester United dan Real Madrid itu ke Parc des Princes pada masa depan.

Sebelum ini Les Parisiens sudah pun merekrut pemain berusia seperti Zlatan Ibrahimovic dan David Beckham yang masing-masing berusia 31 serta 38 tahun ketika mengalas cabaran gergasi Ligue 1 berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nasser, kehadiran Zlatan dan Beckham bersama kelab Paris itu secara tidak langsung memberikan impak positif terutamanya kepada pemain muda.

“Karakter Zlatan terarah kepada karismanya ketika memimpin dan kemampuannya menyelesaikan masalah dihadapi pemain PSG ketika berdepan lawan, pengalaman Zlatan banyak memberi keyakinan kepada pemain lain.

“Beckham pula lain impak positifnya apabila banyak membentuk karakter kerjasama dalam kalangan pemain PSG bermula dari sesi latihan, aksi di padang sehingga meraih kejayaan atas semangat berpasukan,” ujar Nasser.