Kemiskinan multidimensi era Covid-19

Kerajaan perlu memperkemaskan pengumpulan data bancian kemiskinan bagi membantu proses pengagihan kepada golongan sasar yang tepat. Gambar kecil: Nurul Izzah
Kerajaan perlu memperkemaskan pengumpulan data bancian kemiskinan bagi membantu proses pengagihan kepada golongan sasar yang tepat. Gambar kecil: Nurul Izzah
A
A
A

TAHAP garis kemiskinan paling rendah di Malaysia tidak mempamerkan golongan yang paling memerlukan – ini termasuk golongan tanpa kewarganegaraan, golongan kelainan upaya dan segmen mereka yang kurang bernasib baik.

Umumnya, Malaysia sebagai sebuah negara yang kononnya telah mencapai kemajuan besar dalam usaha membasmi kemiskinan. Namun pada hakikatnya, realiti kemiskinan di negara kita masih sangat ketara.

Realiti ini gagal dicerminkan dalam garis kemiskinan yang diguna pakai hari ini memandangkan kadar kemiskinan nasional yang diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dikatakan berjaya turun daripada 49 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 0.4 peratus pada tahun 2016. Ini merupakan angka yang ditunjukkan sekiranya kita mempercayai sepenuhnya kesahihan komputasi data yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).

Rancangan Malaysia yang sama sebenarnya sudah pun memperkenalkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) sebagai pelengkap kepada PGK.

Sistem pengukuran yang sebahagiannya dibangunkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu tidak hanya menekankan pendapatan semata-mata, tetapi ia juga mengambil kira deprivasi daripada pelbagai aspek lain termasuk akses kepada kesihatan, pendidikan dan taraf hidup untuk mengukur kadar kemiskinan secara lebih menyeluruh.

Menggunakan sistem pengiraan ini, Malaysia mencatat kejadian kemiskinan multidimensi serendah 0.86 peratus setakat 2016.

Namun begitu, angka yang rendah itu mengelirukan dan kurang tepat. Sistem pengukuran kemiskinan Malaysia telah ditegur Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Profesor Philip Alston, yang menyatakan bahawa MPI yang direkodkan terlalu rendah dan tidak dapat dipercayai kerana kebergantungan sistem tersebut kepada ukuran kemiskinan yang berdasarkan pendapatan.

Kita memerlukan sistem yang mampu mengukur keperitan hidup rakyat secara tepat, supaya dasar-dasar yang dihasilkan berdasarkan ukuran ini benar-benar dapat membantu mereka. BantuanDi tengah-tengah ekonomi global yang dilanda wabak Covid-19, bantuan kewangan kini memainkan peranan yang mendesak dalam membantu rakyat. Pemerintah di seluruh dunia telah mengambil keputusan untuk mengedarkan bantuan untuk menampung syarikat, pekerja biasa dan juga isi rumah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beberapa negara sedang mula berjinak-jinak dengan konsep negara kebajikan dalam usaha melindungi rakyat mereka daripada bencana ekonomi yang melanda.

Sepanyol adalah antara negara yang paling terkesan daripada impak wabak Covid-19 yang kini sedang mempertimbangkan pelaksanaan sistem pendapatan asas universal sebagai instrumen sistemik dalam menjamin taraf hidup rakyatnya ketika berlakunya pergolakan ekonomi.

Malaysia juga telah mengambil beberapa langkah untuk menyalurkan wang tunai secara terus kepada rakyat dan membantu PKS. Isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM8,000 dan individu dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,000 layak mendapat bantuan. Namun, apabila saluran bantuan ditentukan oleh pendapatan semata-mata, ia tidak mampu menangkap keseluruhan deprivasi yang dihadapi segmen rakyat yang berbeza.

Hasil daripada wabak ini, kita melihat kebangkitan golongan ‘miskin baharu’, atau golongan ‘miskin yang berbeza’. Saban hari, ketidaksamaan dalam masyarakat terus meningkat dengan cara yang tidak dapat disangka.Pada saat kesihatan masyarakat berada dalam ancaman, wabak Covid-19 juga telah menjadi saksi kepada ketidakseimbangan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Walaupun teori mengatakan bahawa wabak Covid-19 akan tersebar tidak kira terhadap kelas B40 mahupun T20, namun hakikat kelompok B40 akan jauh lebih terkesan dari segi kesihatan, pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan, kualiti taraf hidup serta kemungkinan yang lebih besar mereka hidup dengan ancaman keganasan seperti penderaan rumah tangga dan sebagainya.

Berikutan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, Covid-19 secara tidak langsung telah menyingkap kerapuhan kewangan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi mereka yang hanya bergantung pada perniagaan kecil.

Kini, golongan masyarakat seperti penjaja kecil terpaksa memilih antara risiko dijangkiti oleh virus yang berbahaya ataupun kebuluran akibat kehilangan sumber pendapatan sementara perusahaan besar sudah tentu turut terkesan namun masih mempunyai simpanan kewangan yang kukuh.

Keterbatasan akses pemulihan kesihatan turut menjadi kelemahan yang ketara tatkala kita tidak hanya merawat penyakit Covid-19 malah pelbagai jenis penyakit kronik yang lain perlu diberi perhatian sama. Petugas kesihatan sudah tentu sedang bertarung memulihkan pesakit Covid-19. Namun kesannya adalah usai ujian diagnostik serta rawatan berkala bagi pesakit bukan Covid-19 telah terganggu dan harus dirujuk ke hospital swasta dengan bayaran yang lebih rendah. Selain itu, ujian klinikal yang bertujuan untuk penambahbaikan ubat juga telah diputuskan untuk ditangguh sementara waktu bagi memberi prioriti buat pandemik yang sedang berlaku.

Justeru, tumpuan terhadap isu pendapatan dan akses kesihatan yang harus dirungkai, bahkan jurang antara masyarakat ini juga memberi kesan kepada anak-anak yang tidak mampu menjalani proses pembelajaran seperti sediakala. Pendidikan adalah hak buat semua dan ini tidak berlaku akibat limitasi akses internet dan ketidakmampuan memiliki peranti.

Kombinasi yang sesuai bagi proses pembelajaran ini menjadi punca pelajar ketinggalan dalam pendidikan. Jurang bandar dan luar bandar ini akan terus menghukum masyarakat yang tidak berkemampuan sekiranya tiada langkah inklusif yang diambil.Isu ketidakseimbangan dalam masyarakat bukanlah isu yang janggal kepada rakyat Malaysia. Perbincangan ketempangan ini berulang kali diutarakan.

Namun pada saat ini, ia bukan hanya tentang ketidakseimbangan, yang lebih mustahak ditekuni adalah soal data rasmi yang mengklasifikasi dan mengukur tahap kemiskinan masyarakat. Kemiskinan tidak terhenti pada mereka yang tidak mempunyai kesenangan ataupun hanya berlindung di kawasan setinggan, kemiskinan ini datangnya daripada pelbagai dimensi.

Sudah tentu tidak mudah untuk menguruskan masalah klasifikasi kemiskinan pada saat setiap antara kita harus memberi keutamaan pada pembasmian wabak Covid-19. Namun yang ingin saya tegaskan adalah sekiranya isu pengukuran kemiskinan yang wujud daripada pelbagai dimensi ini tidak diusahakan, justeru negara akan terus berdepan dengan isu sama iaitu bantuan gagal disalurkan kepada kumpulan sasar yang tepat

Realiti

Sekiranya data kemiskinan ini mampu diberi perhatian dan tindakan yang mampan, saya yakin program komuniti akan jauh lebih memberi kesan pada penduduk setempat yang seterusnya akan memberi impak positif pada taraf kehidupan. Sejak 2018, pakar ekonomi daripada Universiti Malaya, Profesor Fatimah Kari bersama rakan-rakan penyelidik telah mendapati bahawa terdapat kecacatan dalam proses mengukur kemiskinan sedia ada di Malaysia.

Menurut beliau, proses mengukur kemiskinan harus dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pesara KWSP di mana wanita lebih terkesan setelah bersara dari segi pendapatan, pengangkutan dan pemilikan kediaman berbanding lelaki.

Kita boleh sahaja berbangga dengan usaha jurang kemiskinan yang telah berjaya dikurangkan, namun kita mungkin terlepas pandang berkenaan indikator kemiskinan. Indikator ini yang menjadi unsur ekonomi di mana ia telah mempengaruhi kehidupan masyarakat. Apabila disebut soal kemiskinan multidimensi, harus kita fahami bahawa data sedia ada mempunyai ketempangannya dalam mengklasifikasikan rakyat yang sudah tentu mempunyai tahap bebanan yang berbeza di samping memastikan pangkalan data ini adalah adil dan tepat.

Kami di peringkat Parlimen Permatang Pauh telah menjalankan usaha bagi mengenal pasti ukuran kemiskinan yang dipengaruhi oleh pelbagai dimensi.

Diharapkan agar kemas kini indeks kemiskinan serta perubahan dalam pengumpulan data bancian dapat membantu proses pengagihan bantuan dengan tepat.

**Nurul Izzah Anwar ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh