BAM pastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh latihan kebenaran khas

Norza Zakaria
Norza Zakaria
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dipatuhi sejajar dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia adalah susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung fasa pertama kebenaran khas bagi program 'Road to Tokyo' (RTT) yang melibatkan 265 individu di tiga lokasi bermula 1 hingga 30 Jun ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM tidak akan berkompromi dalam melaksanakan langkah berhati-hati tambahan demi menjaga keselamatan sejumlah 56 individu terdiri daripada atlet, jurulatih, ‘sparring partner’ serta anggota sokongan dari pelbagai bidang yang akan berada di premis berkenaan.

"Pihak BAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kanan Keselamatan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, MKN dan juga KKM di atas kelulusan permohonan Cadangan Kelonggaran Khas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi program RTT untuk skuad badminton negara di ABM bermula 1 Jun ini.

"Besar harapan saya agar setiap atlet badminton program RTT akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dalam memperkukuhkan persiapan pasukan bagi merealisasikan impian negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sejumlah 13 atlet program RTT, termasuk seorang atlet paralimpik, bakal menjalani latihan bersama jurulatih, ‘sparring partner’, anggota sokongan dari pelbagai bidang melibatkan sejumlah 56 orang di ABM.

Mereka akan ditempatkan di akademi itu yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Sukan Olimpik Tokyo telah dijadualkan semula untuk berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 iaitu tepat setahun dari tarikh asal yang dirancang sebelum ini (24 Julai 2020). - Bernama

Artikel Berkaitan: