HDC rai penghuni pusat tahfiz dan rumah amal

Hairol Ariffein (dua dari kiri) dan Zaaba (dua dari kanan) bergambar selepas penyerahan sumbangan di Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah, Petaling Jaya.
Hairol Ariffein (dua dari kiri) dan Zaaba (dua dari kanan) bergambar selepas penyerahan sumbangan di Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah, Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah masing-masing menerima sumbangan bernilai RM15,000 yang disalurkan Halal Development Corporation (HDC) sempena bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, penyerahan sumbangan itu merupakan satu program tahunan pihaknya bagi meraikan golongan memerlukan menjelang musim perayaan ini.

"Pelaksanaan program ini juga sejajar dengan konsep Pengurusan Polariti B40 di bawah dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Menerusi pemberian ini, dianggarkan seramai 80 anak yatim dan pelajar tahfiz akan menerima sumbangan yang disampaikan oleh HDC," katanya ketika berucap sewaktu merasmikan program berkenaan di Maahad Tahfiz Al-Falahiyyah di sini.

Hairol Ariffein berkata, selain sumbangan wang, HDC juga akan turut menganjurkan program Cilik Halal kepada pelajar-pelajar terlibat.

Katanya, terdapat peluang besar dalam industri halal global dan disebabkan itu anak-anak muda perlu diberi pendedahan.

"Program pembangunan bakat halal ini bertujuan untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada anak muda mengenai peluang pekerjaan dalam industri berkenaan," kata beliau.

Sementara itu, Mudir Maahad Tahfiz Al- Falahiyyah, Zaaba Zainal Abidin berkata, pihaknya berbesar hati apabila HDC memilih maahad taffiz berkenaan bagi menerima sumbangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak bulan Ramadan tahun ini, maahad tahfiz itu semakin kurang menerima sumbangan berbanding tahun-tahun sebelumnya susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Jadi dengan pemberian sumbangan oleh HDC ini, ia dapat membantu pelajar di sini khususnya bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.