Pendakwaan mohon Riza Aziz dipanggil sebagai saksi 1MDB

Riza (tengah) diiringi peguamnya selepas selesai menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur lima hari lalu.
Riza (tengah) diiringi peguamnya selepas selesai menghadiri prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur lima hari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan bagi perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pihaknya memohon untuk memanggil Riza Shahriz Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Riza Aziz sebagai salah seorang saksi perbicaraan.

Ketua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Riza Aziz juga sudah memberi persetujuan sekiranya diminta untuk hadir ke mahkamah.

Menurutnya, kehadiran Riza Aziz diperlukan bagi perbicaraan kes bekas Perdana Menteri yang juga bapa tirinya, Datuk Seri Najib Razak atas pertuduhan penyalahgunaan dana 1MDB.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Mahkamah benarkan hampir RM600,000 wang Riza Aziz dilucut

Ketika memaklumkan perkara itu kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah, Sri Ram berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan rasmi dalam masa terdekat.

“Pihak kami sudah fikir dengan sangat teliti sebelum membuat keputusan membabitkan Riza Aziz,” katanya.

Lima hari lalu, Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

DNAA yang diberikan kepada Riza Aziz diberi melalui terma yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, kerajaan Persekutuan yang akan menerima sejumlah wang bernilai jutaan ringgit.

Artikel Berkaitan: