Kes positif terus meningkat, 37 kes baharu direkodkan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes positif koronavirus (Covid-19) di negara ini terus merekodkan peningkatan apabila sebanyak 37 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua kes jangkitan di luar negara manakala 35 penularan tempatan.

"Sebanyak 22 kes daripadanya melibatkan warga asing di negara ini," katanya.

Menurutnya, pertambahan itu menjadikan kes kumulatif positif Covid-19 adalah 6,978.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,218 kes," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah tersebut, enam kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan satu pertambahan kematian berkaitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 114 kes bersamaan 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian terbaharu ini melibatkan wanita berusia 77 tahun dan mempunyai penyakit kronik termasuk barah hati.

"Dia dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan disahkan meninggal dunia jam 3.09 pagi semalam," katanya.

Tambahnya, sebanyak 31 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,646 kes iaitu bersamaan 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.