Geng Emmi Besi tumpas

Ahsmon (dua dari kiri) menunjukkan besi struktur binaan yang dicuri Geng Emmi Besi di Rapid Pengerang.
Ahsmon (dua dari kiri) menunjukkan besi struktur binaan yang dicuri Geng Emmi Besi di Rapid Pengerang.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis berjaya menumpaskan geng mencuri besi struktur binaan di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang di sini selepas menahan lima lelaki dan merampas besi bernilai RM700,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam tiga serbuan berasingan sejak Ahad lalu, pihaknya berjaya menahan ahli kumpulan yang dikenali sebagai Geng Emmi Besi yang aktif sejak setahun lalu semalam.

"Tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki tempatan berusia 35 hingga 62 tahun di Kilometer (KM) 49.5 Lebuh Raya Senai-Desaru, Bandar Penawar, Ahad lalu.

"Dalam serbuan kedua dan ketiga pula, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 49 tahun di luar kawasan Rapid Pengerang manakala seorang lagi lelaki berusia 45 tahun ditahan di kawasan Rapid Pengerang semalam," katanya pada sidang akhbar di perkarangan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini hari ini.

Jelasnya, hasil semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah.

"Polis masih mengesan dalang sindiket dan masih memburu tujuh lagi individu berusia 30 hingga 45 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417/465 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: