Dr Ahmad Fadzli mahu jadikan Klang bandar raya sejahtera

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin
Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin
A
A
A

KLANG - Menjadikan Klang sebagai sebuah bandaraya lebih sejahtera antara misi utama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin yang baru mengangkat sumpah di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Menurutnya, terdapat beberapa sasaran dalam tempoh dua tahun yang diberikan bermula 1 April lalu yang disasarkan.

"Antaranya Majlis Perbandaran Klang (MPK) turut perlu memainkan peranan sebagai fasilitator berbanding 'gate keeper'.

"Selain itu, perlu diberi penekanan mengenai langkah-langkah fasa pemulihan bagi mengurangkan kesan Covid-19 dan memangkin pembangunan sosio ekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, penambahbaikan perlu dilakukan dalam sistem penyampaian agar lebih responsif, telus dan progresif.

"MPK perlu melipatgandakan lagi usaha dalam mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan sedia ada bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan.

"MPK akan memperkasakan sistem pengaduan awam demi menambah baik sistem perkhidmatan majlis supaya lebih cekap, tulus dan tepat bagi memenuhi tuntutan rakyat dan masyarakat yang semakin meningkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penglibatan komuniti yang lebih menyeluruh perlu dijalankan melalui pelbagai program secara berfokus dan berimpak tinggi.

"Penglibatan ahli majlis bersama dengan komuniti perlu lebih progresif bagi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat," katanya.

Terdahulu, bekas Ketua Kluster Pembangunan Pengurusan dan Inovasi Institut Tadbiran Awam Negara, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang (MPK) baharu berkuatkuasa 9 April lalu.

Pelantikan Ahmad Fadzli itu adalah bagi menggantikan bekas YDP MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin yang dipindahkan pada pertengahan November tahun lalu.