Kedai gunting rambut, salon belum dibenarkan beroperasi

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengusaha kedai gunting rambut kekal tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, kedai gunting rambut masih berada di dalam senarai industri atau premis yang tidak dibenarkan menjalankan perniagaan dalam tempoh berkenaan.

“Saya pun terima rayuan. Ramai pengusaha kedai gunting rambut dan persatuan, WhatsApp saya kalau boleh diberikan kebenaran.

“Saya tahu biasanya perniagaan ini paling laris sebelum raya sebab raya biasa orang gunting rambut. Walau bagaimanapun setakat ini kita belum ada sebarang perbincangan.

“Insya-ALLAH, kalau dinasihatkan oleh KKM, kita boleh bincangkan untuk beri kebenaran. Setakat ini kita tidak mendapat sebarang nasihat daripada KKM,” katanya pada sidang akhbar harian PKPB di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Salon Rambut Malaysia (Mahas), AK Selvan meluahkan keresahan pengusaha perkhidmatan gunting rambut mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, mereka kehilangan pendapatan sejak operasi perniagaan ditutup hampir 60 hari lalu namun pada masa sama terpaksa membayar sewa kedai, rumah dan hostel pekerja.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga tidak mendapat pinjaman bank menyebabkan terdapat ramai pemilik salon yang terpaksa membuat pinjaman wang daripada ah long,” katanya.